KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, gagal menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, menerusi hantaran di Facebook rasminya, berkata beliau menerima dan menghormati keputusan pilihan raya yang menyaksikan persaingan sembilan penjuru.
“Rakyat Sabah telah membuat pilihan mereka dan saya mengambilnya sebagai peringatan bermakna untuk terus bermuhasabah, membaiki diri serta bekerja lebih gigih demi kemajuan Kota Kinabalu.
“Saya akan menjadikan keputusan kali ini sebagai satu pedoman untuk terus membaiki diri serta melipatgandakan usaha dan gerak kerja saya di Kota Kinabalu,” katanya.
Datuk Wong Hong Jun daripada Warisan memenangi kerusi Tanjung Aru, mengatasi Datuk Loh Ee Eng (PBK), Hiew Choon Yu (STAR), Yee Wee Ping (PIS), Dennison R. Indang (UPKO), Mohamed Zaim Ansawi (Bebas), Ritchie Jay Cheng (Bebas), Suhaimi Buang (PN–Bersatu) serta Chan.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, yang turut gagal menawan kerusi DUN Likas, berkata parti itu akan mengadakan satu pascanilai menyeluruh dalam masa terdekat susulan kekalahan di kesemua lapan kerusi yang ditandingi.
Beliau berkata kekalahan itu jelas mencerminkan kekecewaan rakyat dan menjadi peringatan penting buat parti untuk melakukan penambahbaikan.
“Kepada semua rakyat Sabah, saya mendengar suara kekecewaan anda.
Kami akan terus berjuang demi Sabah yang sama-sama kita cintai. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah keluar mengundi pada hari ini.
“Pada masa yang sama, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah menang di kawasan masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam kenyataan memaklumkan parti itu tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi pada PRN kali ini iaitu Luyang, Kapayan, Likas, Tanjong Papat, Elopura serta Sri Tanjong, Tanjung Aru dan Kemabong.
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu ialah 37 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan. — BERNAMA



