TANJUNG MANIS: Bukan sekadar menghiburkan tetamu kenamaan, Kumpulan Sri Gelinang Kampung Jerijeh Baru turut berperanan memartabatkan seni tradisi Melanau menerusi persembahan tarian, muzik dan nyanyian yang diwarisi sejak turun-temurun.
Berbekalkan semangat cinta akan budaya sendiri, kumpulan itu terus mempertahankan warisan berkenaan daripada ditelan arus pemodenan, selain berusaha menarik minat generasi muda mengenali seni tradisi Melanau.
Ketua Kumpulan Sri Gelinang, Sabtuyah Ahmad berkata, kumpulan itu kini mempunyai 12 anggota terdiri daripada penari serta pemain gelinang.

Katanya, mereka sering menerima jemputan untuk membuat persembahan di majlis rasmi, perkahwinan serta program perasmian, termasuk di luar kawasan dan kampung pedalaman.
“Gelinang diambil daripada nama alat muzik yang digunakan ketika persembahan, manakala seni ini diwarisi daripada nenek moyang kami sejak dahulu.
“Kami mahu memastikan kesenian ini terus hidup dan dapat diperkenalkan kepada generasi seterusnya,” katanya kepada Suara Sarawak.
Sabtuyah berkata, setiap persembahan yang dibawakan kumpulan itu berteraskan identiti masyarakat Melanau, merangkumi tarian, lagu serta muzik tradisional yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat berkenaan.
Selain berfungsi sebagai hiburan dalam majlis keramaian, persembahan mereka turut menjadi medium menyambut tetamu serta memperkenalkan keunikan budaya Melanau kepada masyarakat luar.
Kumpulan itu turut menghimpunkan penggiat seni berusia antara 18 hingga 60 tahun, dengan sebahagian besar anggotanya terdiri daripada suri rumah yang sentiasa meluangkan masa untuk latihan dan persembahan.
Antara lagu dan tarian yang menjadi pilihan mereka ialah Jong-Jong Ukang, Melah Tubas Dudo dan Berkiker, sekali gus memastikan warisan seni Melanau terus dikenali serta diwarisi generasi akan datang.





