KUALA LUMPUR: Tai Weuy Liang yang pada awalnya tidak memahami bahasa Melayu kini mampu berpidato, menghasilkan puisi dan membawa bahasa kebangsaan itu ke pentas antarabangsa.
Perjalanan itu bermula pada 2016 ketika guru Bahasa Melayu, Mohd Hafezi Abdul Hamid, membimbingnya yang ketika itu murid Tahun Empat SJKC Imbi, Kuala Lumpur, dengan penguasaan bahasa Melayu yang sangat terbatas.

Menurut Bernama bimbingan yang dilakukan dua kali seminggu itu berterusan hampir sedekad, termasuk secara dalam talian selepas Weuy Liang melanjutkan pengajian di Universiti Peking, China, sehingga beliau memenangi beberapa pertandingan syarahan, deklamasi puisi dan pidato di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Weuy Liang berkata kemenangan pada 2018 menjadi titik perubahan selepas gurunya menasihatinya membina identiti sendiri dalam penyampaian, manakala penguasaan bahasa diperkukuh melalui penggunaan kamus, pembacaan majalah Melayu dan penulisan puisi yang kini menghasilkan hampir 10 karya diterbitkan.

Kini di tahun kedua pengajian Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa di Universiti Peking, Weuy Liang terus mendeklamasikan sajak bahasa Melayu di China, manakala Mohd Hafezi berharap anak didiknya itu berkembang sebagai penulis, penggerak bahasa Melayu dan ikon perpaduan yang mampu membawa bahasa tersebut ke peringkat antarabangsa.



