Tidak semua orang melalui kehidupan yang mudah untuk mencapai kejayaan.
Ada yang terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran sebelum menemui jalan yang mampu mengubah kehidupan mereka.
Begitulah kisah Awang Ramli Awang Hamdan, 49, seorang pelukis potret jalanan yang menjadikan bakat seni sebagai sumber pendapatan dan inspirasi dalam meneruskan kehidupan.
Di sebalik senyuman dan hasil karyanya, tersimpan kisah perjuangan seorang anak seni yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Kesempitan hidup yang dilaluinya sejak usia muda menjadi pendorong untuk beliau terus berusaha mencari peluang demi menampung keperluan hidup.
Menurut Awang Ramli, sebelum bergelar pelukis jalanan, beliau pernah bekerja sebagai penghantar surat di Pos Laju sekitar 2000.
Namun, pendapatan yang diterima ketika itu masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.
“Saya bekerja sebagai penghantar surat pada waktu pagi. Pada masa sama, saya sentiasa mencari peluang pekerjaan lain untuk menambah pendapatan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Perjalanan beliau dalam dunia seni bermula apabila bertemu dengan seorang pelukis kartun bernama Nicky.
Pertemuan tersebut membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila beliau mula melihat potensi bidang seni lukis sebagai sumber pendapatan.
“Saya masih ingat ketika bertanya kepada beliau berapa bayaran yang diterima bagi setiap lukisan. Beliau memberitahu saya bahawa satu lukisan boleh dijual pada harga RM20.
“Dari situ saya mula berfikir bahawa bakat melukis yang saya miliki juga boleh dijadikan sumber pendapatan,” katanya.
Ketika itu, keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan beliau memerlukan pendapatan tambahan untuk menampung pelbagai keperluan termasuk kos bahan api motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Keadaan tersebut mendorong beliau untuk memberanikan diri menceburi bidang lukisan secara lebih serius.
Walaupun mengakui dirinya seorang yang pemalu, Awang Ramli tidak pernah menolak peluang untuk melukis di hadapan orang ramai.
Baginya, setiap peluang yang datang merupakan pengalaman berharga dan rezeki yang perlu dihargai.
Ramai beranggapan bahawa kerjaya sebagai pelukis jalanan merupakan pekerjaan yang mudah. Namun, hakikatnya bidang tersebut memerlukan tahap kesabaran, ketelitian dan komitmen yang tinggi.
“Melukis potret sangat berbeza dengan melukis kartun. Lukisan kartun mungkin boleh disiapkan dalam masa beberapa minit, tetapi lukisan potret boleh mengambil masa sehingga empat jam untuk mendapatkan hasil yang benar-benar kemas dan memuaskan,” jelasnya.
Sokongan keluarga menjadi antara faktor utama yang mendorong beliau untuk terus bertahan dalam bidang seni. Malah, abangnya juga merupakan seorang pelukis landskap yang turut berkongsi minat sama.
Walaupun begitu, perjalanan seni beliau tidak sentiasa berjalan lancar.
Pada 2010, Awang Ramli mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lukisan dan kembali ke kampung halamannya.
Namun, minat yang mendalam terhadap seni mendorong beliau untuk kembali aktif melukis pada 2025.
Kini, Tebingan Kuching menjadi lokasi beliau mencari rezeki setiap hari. Beliau akan berada di kawasan tersebut sambil menunggu pelanggan yang ingin mendapatkan hasil lukisan potret.
Menurut beliau, kaedah kerja yang digunakan kini lebih praktikal kerana pelanggan hanya perlu menyerahkan gambar yang ingin dilukis.
“Biasanya pelanggan akan memberikan gambar yang ingin dilukis. Saya akan merujuk kepada gambar tersebut supaya mereka tidak perlu menunggu terlalu lama dan boleh melakukan aktiviti lain sementara menunggu lukisan siap,” katanya.
Di sebalik sikap positif yang sentiasa dipamerkan, Awang Ramli mengakui banyak pengorbanan yang perlu dilakukan sepanjang bergelar pelukis jalanan.
Antara cabaran yang masih diingatinya ialah ketika pertama kali melukis di Tebingan Kuching apabila beliau ditanya oleh pihak berkuasa mengenai permit atau lesen untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Selain itu, masa juga menjadi antara pengorbanan terbesar yang perlu dilakukan. Ada kalanya beliau hanya pulang ke rumah pada awal pagi selepas menyelesaikan tempahan pelanggan.
Kerjaya sebagai pelukis jalanan juga tidak menjanjikan pendapatan yang tetap. Ada hari beliau menerima ramai pelanggan dan ada masanya langsung tidak memperoleh sebarang tempahan.
Sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang seni, Awang Ramli pernah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai pemandu bot pelancong, pencuci kereta, petani, penternak serta membantu ibunya berniaga.
Pengalaman tersebut banyak mengajarnya tentang nilai kehidupan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi cabaran.
Minat terhadap seni sebenarnya bermula sejak beliau berada di bangku sekolah apabila gemar melukis watak kartun Popeye.
Siapa sangka, minat yang bermula sebagai hobi akhirnya berkembang menjadi sumber rezeki yang membantu beliau meneruskan kehidupan sehingga hari ini.
Bagi Awang Ramli, kejayaan bukan sahaja diukur melalui kemewahan atau populariti, tetapi juga kemampuan untuk terus melakukan perkara yang diminati dan bersyukur dengan setiap rezeki yang diperoleh.
“Perkataan ‘putus asa’ tidak pernah wujud dalam diri saya. Yang penting ialah terus berusaha dan bersyukur dengan apa yang kita ada,” katanya.
Semangat kental yang dimiliki Awang Ramli membuktikan bahawa kesukaran hidup bukanlah penghalang untuk seseorang mencapai impian.
Dengan minat, usaha dan kesabaran, bakat yang dimiliki mampu menjadi jalan untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.



