ARTIKEL

PUAN Sri Lim Su Kheng bersama-sama keluarganya.

Daripada pendandan rambut ke isteri Timbalan Ketua Menteri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina bagi Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada tahun hadapan pasti berbeza.

Tiada lagi kelibat wanita kecil, bercheongsam kuning dan putih berada di atas pentas, serta mengalu-alukan semua tetamu yang hadir.

Percayalah, dalam setiap sambutan itu, beliau merupakan pusat tumpuan tetamu kenamaan yang hadir. Bahkan ada yang mengatakan, lif kecil di Dewan Sa’ati dibina untuk memudahkan beliau naik ke tingkat atas dewan tersebut — setiap kali hadir ke situ.

Puan Sri Lim Su Kheng adalah antara wanita terakhir dalam generasinya.

Ketika menutup mata pada petang 17 November lalu pada usia 83 tahun, beliau merupakan isteri dan ibu kepada Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Premier Sarawak — suatu pencapaian tinggi bagi seorang wanita Cina dari Sarawak.

Suaminya, Tan Sri Sim Kheng Hong adalah figura penting dalam politik Sarawak dan SUPP. Pada 4 Julai 1970, Tun Abdul Rahman Ya’kub yang mewakili Parti Bumiputera telah berunding dengan SUPP, untuk menggenapkan 24 kerusi untuk membentuk Kerajaan Negeri yang baharu.

Ketika inilah suami Lim Su Kheng, Sim Kheng Hong yang memenangi kawasan DUN S6 Sekama, bertukar peranan daripada pembangkang kepada kerajaan.

Sim Kheng Hong kemudian dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan, dan status wanita yang bekerjaya sebagai pendandan rambut era mudanya itu berubah.

Pada penggal berikutnya, selepas mengekalkan kerusinya dalam Pilihan Raya Umum 1974, Sim Kheng Hong dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak — jawatan yang dipegangnya sehingga 1991.

Ketika pilihan raya berikutnya pada 1979, persempadanan semula kawasan pilihan raya menukar kawasannya kepada DUN N4 Stampin.

Menjadi isteri menteri pada usia 28 tahun, dan isteri Timbalan Ketua Menteri pada usia 32 tahun tidak mengubah perwatakan wanita cantik ini.

Tan Sri George Chan Hong Nam, yang pernah menjadi Presiden parti tersebut mengingati akan peranan wanita ini yang sentiasa membantu dan menyokong suaminya ketika susah dan senang.

“Tidak pernah merungut dan sentiasa memastikan tetamu yang hadir ke kediaman mereka, sama ada berkunjung atau terlibat dalam perbincangan, agar tidak pulang dengan perut kosong.”

Wanita berketurunan Teochew yang lazimnya berjalan kaki ke sekolah dari kediamannya, yang kini Pejabat Pos Besar Kuching, ketika era Perang Dunia Kedua ini malah memastikan seluruh rakyat yang bertandang ke kediamannya, dilayan sebaik mungkin.

Inilah watak sebenar, bukan lakonan, yang digambarkan sehingga beliau menutup usia.

Bibirnya sentiasa menguntum senyum sambil ghairah melayan setiap tetamu yang hadir ke kediamannya di Jalan Wan Abdul Rahman setiap kali sambutan tahun baharu Cina, mahupun menghadiri pelbagai majlis. 

Watak inilah yang diteruskan ketika anaknya, Dr. Sim Kui Hian dilantik sebagai menteri Kabinet Sarawak, dan kemudiannya sebagai Timbalan Premier Sarawak pada Januari 2022.

Dr. Sim merupakan pakar jantung selama 17 tahun di Australia sebelum membuat keputusan kembali ke Sarawak pada 1998.

Pengaruh dan nasihat ibu yang menyuntik nilai “sayangkan kampung dan keluarga” turut memainkan peranan penting dalam keputusan Dr. Sim untuk kembali ke kampung halamannya, sedangnya pendapatan yang dikautnya agak lumayan ketika itu.

Tahun 2001 , pada usia 36 tahun, Dr. Sim diminta untuk menubuhkan Jabatan Kardiologi Hospital Umum Sarawak, yang kemudiannya dikembangkan menjadi Pusat Jantung Sarawak.

Ia sumbangan besar Dr. Sim hingga beliau akhirnya diberi peluang untuk menyertai politik — mewarisi perjuangan mendiang bapanya.

Dr. Sim kemudian dipilih bertanding di kerusi DUN Pending pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 namun kalah.

Lulusan Monash University ini kemudian dilantik Ahli Dewan Negara pada April 2014, sebelum menang di DUN14 Batu Kawah pada Pilihan Raya Negeri 2016 — yang kemudian membawa kepada pelantikannya sebagai Menteri Kerajaan Tempatan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Adenan Satem — mengulangi peranan bapanya 46 tahun sebelum itu.

Beliau sekali lagi mengulangi sejarah keluarga pada 4 Januari 2022, apabila dilantik Timbalan Premier Sarawak, selain berperanan mengetuai SUPP sejak September 2014.

Lim Su Kheng memainkan peranan penting dalam hal ini, kerana beliaulah rujukan utama Dr. Sim dalam segala hal. Kerana itu Dr. Sim dilihat tidak sombong dan sentiasa merendah diri dalam pelbagai situasi.

Beliau sentiasa dipesankan bahawa Lim Su Kheng sendiri berasal dari keluarga yang susah, dengan adik beradik ramai, justeru amat penting untuk sentiasa berjimat.

Pemergian Lim Su Kheng amat dirasai oleh ramai mereka yang segenerasi dengannya. Malah para pemimpin negara.

Auranya malah melebihi Dr. Sim sendiri, kerana kemurahan hatinya kepada banyak orang, terutama penduduk di kawasan. Ketika didiagnos kanser usus pada tahun lalu, beliau bagai sudah meneka apa nasibnya.

Biarpun meneruskan rejim rawatan yang menyakitkan, sama ada kimoterapi mahupun pembedahan, beliau cekal.

Kerana tahu masa yang berbaki adalah untuk bersama keluarga, beliau menolak untuk berada di hospital.

Dan ini memberikan ruang yang lebih untuk anak-anak, dan cucu kesayangannya untuk bersama-samanya.

Dr. Sim beberapa minggu lalu, malah meluahkan kelegaan kerana dapat menemui “sedikit ruang” untuk bersama dengan wanita berkulit dan berambut putih itu — biarpun dalam keadaan berbaring di katil.

Realitinya, kehilangan Lim Su Kheng bukan sahaja dirasai oleh Dr. Sim dan keluarga.

Malah dirasai seluruh pemimpin dan rakyat Sarawak.

Apatah lagi beliau satu-satunya “bonda” para komrad SUPP yang berasal dari era pertama parti tertua Sarawak itu.

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU