KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik menerusi penganjuran Mesyuarat Penyelarasan Dasar Pelesenan, bertempat di Ibu Pejabat LPKP Sarawak.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Pengerusi LPKP Sabah Vivian Wong Shir Yee dan Pengerusi LPKP Sarawak Michael Kong Feng Nian.
Menurut LPKP Sarawak, mesyuarat ini diurus setiakan oleh LPKP Sarawak dan diadakan secara hibrid dengan penyertaan ahli lembaga daripada kedua-dua pihak.

“Antara fokus utama perbincangan ialah penyelarasan dasar dan prosedur pelesenan sedia ada agar lebih efisien dan responsif terhadap perkembangan semasa industri pengangkutan perdagangan.
“Usaha ini turut merangkumi penambahbaikan penyampaian perkhidmatan, pemantapan tadbir urus serta peningkatan kesejahteraan pemain industri,” katanya.
Menurut Wong, kerjasama erat antara LPKP Sabah dan LPKP Sarawak amat penting bagi memastikan dasar pelesenan yang dilaksanakan sentiasa relevan serta selari dengan keperluan industri dan perkembangan semasa.
Sementara itu, Kong berkata penyelarasan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan, malah memperkukuh keyakinan pemain industri terhadap tadbir urus pelesenan yang lebih telus dan berdaya saing.
Inisiatif tahunan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa sistem pelesenan yang mampan serta menyokong pembangunan industri pengangkutan perdagangan yang lebih cekap dan berdaya tahan di rantau ini.


