Seniman Diraja Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid menerima Anugerah Cai Zhizhong Comic Prize pada majlis Anugerah Cai Zhizhong Comic Prize Ketiga yang berlangsung di Guangzhou, China, Jumaat lepas.
Lat yang berusia 72 tahun berkata, beliau berasa bangga dengan pengiktirafan oleh jawatankuasa anugerah itu melibatkan beberapa pengkarya terkenal daripada pelbagai cabang kesenian di China.
“Saya bangga kerana kita mewakili negara kita, lagipun hubungan antara China dan Malaysia sekarang sangat baik, kebanyakannya melibatkan perniagaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.



