KUCHING: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu meneliti keseluruhan ekosistem Kuching Food Festival bagi mengenal pasti pendekatan yang boleh dipelajari dan dibawa ke Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata penganjuran festival berkenaan bukan sekadar mempromosikan makanan, sebaliknya berjaya mengaktifkan pelbagai sektor termasuk perniagaan, pemasaran, budaya, komuniti dan industri berkaitan.

Katanya, perkara itu antara sebab beliau membawa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, bersama pegawai pelesenan dan pegawai yang bertanggungjawab terhadap festival untuk melihat sendiri pelaksanaan Kuching Food Festival.
“Kita mahu melihat keseluruhan ekosistem, bukan sekadar festival makanan ini, tetapi daripada aspek ladang hingga pemasaran serta bagaimana satu konsep boleh menggerakkan begitu banyak industri berkaitan budaya makanan.”
“Saya rasa tindakan susulan selepas ini, banyak perkara yang DBKL dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) boleh bekerjasama untuk melihat cara masing-masing belajar antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke Kuching Food Festival diiringi Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng, di sini, pada Jumaat (7 Ogos).
Menurut Hannah, antara aspek yang boleh dikongsi dan dipelajari termasuk konsep makan di ruang terbuka, pengurusan sisa, pelesenan perniagaan serta pertanian komuniti.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, berkata konsep Kuching Food Festival merupakan sesuatu yang baharu bagi pihaknya dan berpotensi untuk diadaptasi di Kuala Lumpur.
“Pengalaman yang bagus.”
“Ini sesuatu yang baharu untuk kami di Kuala Lumpur untuk menganjurkan program yang berimpak seperti ini.”
“Mungkin kita boleh belajar daripada Kuching Selatan untuk mengadaptasi konsep ini di Kuala Lumpur,” katanya.
Kuching Food Festival anjuran MBKS berlangsung selama sebulan dengan pengisian yang tidak hanya tertumpu kepada jualan makanan, malah turut menampilkan konsert dan aktiviti hiburan setiap malam.
Festival berkenaan turut mengetengahkan unsur budaya menerusi pelbagai pameran serta hiasan bertemakan budaya, selain menyediakan kawasan permainan yang sesuai untuk kunjungan seisi keluarga.
Pendekatan itu menjadikan festival berkenaan bukan sekadar lokasi menikmati makanan, tetapi turut menjadi ruang rekreasi, hiburan dan interaksi masyarakat.
Bagi meningkatkan keselesaan pengunjung, MBKS turut menyediakan tempat duduk untuk mereka menikmati makanan, manakala kawasan festival dihiasi pelbagai elemen budaya dan pencahayaan bagi mewujudkan suasana lebih meriah serta menarik kehadiran orang ramai.
Hannah berkata, konsep unik, suasana yang meriah, penglibatan golongan muda dan aspek kebersihan antara perkara yang menarik perhatiannya ketika pertama kali mengunjungi Kuching Food Festival sempena SUKMA sebelum ini.
Katanya, beliau kemudian memaklumkan kepada DBKL supaya melihat sendiri bagaimana festival berkenaan dilaksanakan selepas mengambil alih portfolio Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, kepelbagaian masyarakat di Kuching dan Kuala Lumpur turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman dan pendekatan dalam pengurusan bandar serta penganjuran acara.




