KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) membuka sebanyak 156 tapak jualan sempena penganjuran Regata Perahu Naga Antarabangsa dan Regata Sarawak 2026 di Jalan Gambier dan Lebuh Java, di sini, Oktober depan.
Tapak jualan berkenaan akan beroperasi selama enam hari, iaitu pada 23 hingga 25 Oktober dan 30 Oktober hingga 1 November 2026, setiap Jumaat hingga Ahad.
Menurut kenyataan DBKU, sebanyak 77 tapak daripada jumlah berkenaan disediakan untuk jualan barangan tekstil, aksesori, permainan kanak-kanak dan barangan lain.
Sebanyak 70 tapak pula diperuntukkan bagi jualan makanan dan minuman, manakala sembilan tapak dikhaskan untuk jualan makanan panggang.
Permohonan tapak jualan akan dibuka secara dalam talian mulai 15 September 2026 (Selasa), dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, menerusi laman sesawang rasmi DBKU.
Semua pemohon diminta mengemukakan nombor telefon dan alamat e-mel yang sah bagi memudahkan urusan pemakluman keputusan permohonan.
DBKU menetapkan kadar bayaran sebanyak RM160 bagi setiap tapak untuk keseluruhan tempoh enam hari acara berkenaan.
Bagi memastikan keseragaman serta kelancaran penyusunan dan pengurusan tapak, setiap penjaja bertanggungjawab menyediakan sendiri meja, kerusi dan kanopi berwarna biru berukuran 10 kaki x 10 kaki sepanjang tempoh acara.
Pemohon juga perlu memastikan semua dokumen yang ditetapkan dikemukakan dengan lengkap, termasuk gambar berukuran pasport serta salinan kad pengenalan pemohon dan pembantu gerai atau pekerja.
Bagi permohonan kategori makanan dan minuman termasuk makanan panggang, pemohon diwajibkan mengemukakan salinan Kad Pengendali Makanan DBKU sebagai salah satu syarat permohonan.
Semua permohonan yang diterima akan melalui proses saringan dokumen dan undi masuk, dengan hanya permohonan yang lengkap serta memenuhi semua syarat ditetapkan akan dipertimbangkan.
Proses undi masuk dijadualkan pada 29 September 2026 (Selasa) dan boleh disaksikan secara langsung menerusi Facebook DBKU.
Semakan status permohonan pula boleh dibuat mulai jam 2.30 petang, 6 Oktober 2026 (Selasa) menerusi laman sesawang rasmi DBKU.
Pemohon yang berjaya dikehendaki menghadiri Sesi Taklimat Regata dan Cabutan Nombor Petak serta membuat pembayaran pada 10 Oktober 2026 (Sabtu), jam 8.30 pagi, di Auditorium DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang.
Bayaran hanya boleh dibuat secara tunai atau melalui SPay Global.
DBKU turut menasihatkan semua pemohon supaya memastikan maklumat dan dokumen yang dikemukakan adalah lengkap, tepat dan masih sah bagi mengelakkan permohonan tidak dapat diproses.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-512955.





