DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah Khas Juri sempena penganjuran sulung Festival Flora Borneo (BFF) @ Labuan 2025 yang berlangsung dari 26 hingga 30 Julai lalu di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa (KSLA), Labuan.
Mengetengahkan tema “Landskap Sebagai Wadah Perpaduan”, DBKU menampilkan reka bentuk laman pameran yang bukan sahaja kreatif dan estetik, malah menyampaikan mesej mendalam berkaitan kepelbagaian budaya, pemeliharaan alam sekitar serta aspirasi ke arah bandar pintar dan lestari.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan DBKU memperkasakan pembangunan landskap bandar yang inklusif, inovatif dan mampan, sejajar dengan matlamat Malaysia Madani, Dasar Landskap Negara 2030, serta Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang diterima oleh Pengarah DBKU Ramzi Abdillah dan Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pembangunan dan Landskap Maggie Tomeng



