KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai johan bagi kategori Best Smart City Initiative (Open Category – Government Agency) di Johor Smart City Awards 2025 yang berlangsung di Johor Bahru, pada Selasa.
Menurut kenyataan DBKU, kejayaan ini diraih melalui projek e-Penambang, satu inisiatif pintar yang memperkasakan perkhidmatan penambang tradisional Kuching dengan penggunaan teknologi digital, sejajar dengan aspirasi menjadikan Kuching Utara sebuah bandaraya pintar dan moden.
Anugerah ini adalah sebahagian daripada Johor Smart City Forum 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 September, yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, pakar teknologi serta penggiat industri dari seluruh negara.
Kategori Open hanya memilih satu pemenang sahaja, menjadikan kemenangan DBKU sangat bermakna dalam landskap pembangunan bandar pintar di Malaysia.
Antara kategori utama anugerah ini termasuk Best Smart City Initiative (Johor Government Agency), Best Smart City Initiative (Johor Private Sector) dan Best Smart City Initiative (Open Category – Government Agency).
Kemenangan ini sekaligus mengiktiraf usaha berterusan DBKU dalam memacu inovasi, memperkenalkan solusi teknologi pintar dan membina bandaraya yang lestari serta berdaya saing di peringkat nasional. – TVS



