Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sekali lagi melakar kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan ASEAN Clean Tourist City Award bagi Kategori ASEAN Tourism Standards 2026–2028 Peringkat ASEAN.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan selepas DBKU berjaya memenuhi sepenuhnya kriteria ASEAN Tourism Standards 2026–2028, selain memperoleh perakuan rasmi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Majlis penganugerahan telah berlangsung pada 30 Januari lalu di Cebu, Filipina, bersempena ASEAN Tourism Forum (ATF) 2026.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komuniti DBKU Rudzaimeir Malek dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam DBKU Norhayati Bidin, hadir menerima anugerah tersebut bagi pihak DBKU.
Kejayaan ini merupakan pengiktirafan pertama DBKU di peringkat ASEAN, sekali gus membuktikan komitmen berterusan DBKU dalam memastikan Kuching Utara kekal sebagai bandar pelancongan yang bersih, selamat, mampan dan berdaya huni sejajar dengan aspirasi pembangunan bandar bertaraf antarabangsa.
Untuk rekod, DBKU turut mencatat kejayaan di peringkat kebangsaan apabila berjaya memenangi ASEAN Clean Tourist City Standard sebanyak dua kali berturut-turut, iaitu bagi tempoh 2022 hingga 2024 yang diterima pada 7 Mac 2022 di DoubleTree by Hilton Hotel, Kuala Lumpur, serta bagi tempoh 2024 hingga 2026 yang diterima pada 29 April 2024 di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.
Pencapaian berterusan ini menjadi pemangkin kepada usaha DBKU dalam memperkukuh tadbir urus bandar di samping meningkatkan kualiti persekitaran bandar yang bersih, selamat dan mampan demi kesejahteraan komuniti serta pengalaman pelancongan bertaraf antarabangsa.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga bandar raya Kuching atas komitmen, disiplin serta kerjasama berterusan dalam memikul tanggungjawab bersama-sama, sekali gus merealisasikan aspirasi menjadikan Kuching sebagai antara Bandaraya Pelancongan Terbersih di rantau ASEAN.
Syabas dan tahniah warga kota Kuching!



