KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menawarkan 74 tapak jualan di sepanjang Jalan Gambier, dekat sini, sempena sambutan Ambang Tahun
Baharu 2025.
Aktiviti jualan yang akan berlangsung pada 31 Disember, Selasa nanti juga akan bermula pada jam 8 pagi hingga 1 pagi.
DBKU menerusi satu kenyataan memberitahu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM15 sepetak.
“Para penjaja dikehendaki menggunakan meja, kerusi dan kanopi biru sendiri dengan ukuran 10’ x 10’ semasa menjalankan aktiviti perniagaan.
“Perkara tesebut penting untuk memastikan keseragaman dan memudahkan kerja-kerja susun atur dilakukan,” katanya.
Tambah DBKU, pemohon dikehendaki datang ke Bahagian Pelesenan, DBKU@Depo, Jalan Depo pada 26 Disember, Khamis ini mulai jam 9 pagi dan membawa bersama dokumen yang lengkap.
Katanya, dokumen tersebut juga merangkumi gambar ukuran passport pemohon dan pembantu gerai/pekerjaan, salinan kad pengenalan pemohon dan pembantu gerai/pekerja, salinan Sijil Kursus Pengendali Makanan pemohon dan pembantu gerai/pekerja, salinan laporan pemeriksaan kesihatan berserta Suntikan Pelalian Anti Tifoid (Vaksin Demam Kepialu) pemohon dan pembantu gerai/pekerja, atau salinan kad pengendali makanan DBKU.
Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, sila hubungi Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-512955.






