KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited memperkasa penggunaan bahasa Melayu dan pelestarian bahasa sukuan di Sarawak serta mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Sarawak.
Ketua Pengarahnya, Dr Hazami Jahari berkata, pelbagai kegiatan perkembangan bahasa dan sastera, termasuk bahasa serta sastera sukuan, telah mendapat sumbangan serta bantuan sepenuhnya daripada kerajaan negeri.
“DBP turut memberi tumpuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.
“Di samping itu, kami juga maklum bahawa urusan rasmi di Sarawak masih dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa sukuan, terutamanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, tiada isu yang timbul mengenai bahasa kebangsaan tidak diutamakan di Sarawak kerana undang-undang tetap mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan usaha memperkukuh penggunaannya terus dipergiatkan.
Jelasnya, DBP akan memberi fokus kepada pendidikan dan pelestarian bahasa sukuan sebagai tanda keprihatinan terhadap kekayaan budaya linguistik di negeri ini.
“Antaranya, penubuhan jawatankuasa khas bagi mendokumentasikan dan memelihara bahasa sukuan yang berisiko pupus.
“Kita mahu masyarakat terus mengenali dan menghargai bahawa Sarawak memiliki warisan linguistik yang sangat berharga dan usaha dokumentasi ini penting bagi generasi akan datang.
“DBP akan terus menjalankan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu di samping menghormati keunikan dan keperluan perundangan serta budaya masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.”
Pada masa sama, pihak DBP turut menyampaikan undangan rasmi kepada Abang Johari untuk menghadiri Majlis Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.
Jelasnya, anugerah ini bertujuan mengiktiraf karya-karya penerbitan terbaik yang dihasilkan di negeri Sarawak, khususnya yang mendapat sokongan melalui geran atau peruntukan daripada Kerajaan Negeri.
“Majlis penganugerahan ini dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat, tertakluk kepada tarikh yang akan ditentukan oleh Pejabat Premier Sarawak.
“Ini adalah satu bentuk pengiktirafan penting oleh kerajaan negeri yang menunjukkan komitmen terhadap pembangunan keilmuan dan kesarjanaan di Sarawak,” tambahnya.



