DEBAK: Masyarakat di Debak, Betong dan kawasan sekitarnya diseru menyertai Karnival Berbasikal Saribas 2026.
Program santai yang mempunyai signifikan tersendiri itu akan berlangsung di Pusat Sukan Riveria Debak, Betong, dari 24 hingga 26 Julai ini.
Pengerusi Karnival, Mohd. Zool Ihsan, berkata kehadiran masyarakat setempat bagi sama-sama menjayakan karnival kayuhan itu amat dialu-alukan.

Menurutnya, program selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Laserlight Debak dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Saribas serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
“Kita menyeru orang ramai, terutama masyarakat yang tinggal di sekitar Debak dan Betong, supaya sama-sama menjayakan karnival itu.
“Untuk makluman, peserta akan melalui laluan sejauh 40.5 kilometer,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Pelbagai acara sampingan turut diadakan sempena karnival itu.
Antaranya ialah kayuhan basikal bukit, larian, pertandingan karaoke, persembahan kumpulan kugiran D’Klasik & Karaoke Santai, senam cerdas zumba, serta jualan dan pameran nanas.


