ARTIKEL

Debar menunggu DUN Sarawak bubar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SPEKULASI bila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan semakin hangat diperkatakan.

Ada yang menyebut akan berlaku pada minggu ini atau minggu depan.

Tidak kurang yang menyebut pada November. Tetapi kebanyakan penganalisis politk bersetuju,

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membuat pengumuman penting ini dalam tempoh amat dekat — mengambil kira “feel good factor” yang akan diumum hari ini (Rabu), ketika beliau membentangkan penggulungan kerajaannya dalam Persidangan DUN Sarawak ke-19.

Justeru untuk tidak menghilangkan momentum tersebut, mungkin Jumaat ini adalah hari paling sesuai – memandangkan ia adalah penghulu segala hari dan hari yang paling “digemari” Abang Johari dalam membuat pengumuman besar seperti pilihan raya.

Buktinya, pada 2021, beliau membubarkan DUN Sarawak pada 3 November, iaitu pada hari yang sama pembatalan Proklamasi Darurat Sarawak, yang sebelumnya mula berkuat kuasa pada 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Namun Abang Johari hanya mengumumkannya pada Jumaat, 5 November tahun tersebut.

Justeru ramai yang meramalkan Jumaat ini sebagai tarikh untuk beliau membuat pengumuman pembubaran, setelah memperoleh perkenan daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada sebelah paginya.

Selepas pembubaran, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dijangka akan mengadakan sidang media pada minggu berikutnya, sebelum menyerahkan notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan semua tarikh berkaitan, termasuk penamaan calon dan hari mengundi.

Ramai penganalisis politik juga percaya bahawa tarikh pilihan raya mungkin akan berlaku pada hujung minggu Disember.

Dua tarikh yang menjadi pilihan ialah pada Sabtu, 12 atau 19 Disember 2026.

SPR pasti melihat kepada dua tarikh ini, selepas tempoh berkempen dua minggu, apabila urusan penamaan calon diselesaikan pada minggu keempat November atau pada minggu pertama Disember.

Pada PRN Sarawak ke-12, ia berlangsung pada Sabtu, 18 Disember 2021, dengan penamaan calon pada 6 Disember.

Ruang masa yang agak panjang sebenarnya perlu untuk mereka yang berhajat bertanding, bagi membolehkan mereka membeli dan mengisi borang, sambil mendapatkan pencadang, penyokong serta menyediakan wang cengkeram.

Pemilihan tarikh sebenarnya cukup penting kerana ia sebolehnya berlaku pada cuti sekolah dan hujung minggu untuk membolehkan ramai dalam kalangan pemilih “turun” untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Ia juga harus lebih awal daripada “hujung bulan” pada Disember, kerana pada minggu akhir tersebut akan berlangsung sambutan Krismas dan tahun baharu.

Juga mengambil kira fenomena cuaca yang tidak menentu pada waktu itu, terutamanya hujan berterusan dan risiko banjir.

Yang pasti, pilihan raya kali ini amat menarik kerana ia medan uji adakah parti pemerintah — GPS — mampu mengekalkan 80 kerusi yang dimilikinya.

Malah merampas dua kerusi milik parti DAP, untuk menjadikan pencapaian bersejarah seratus peratus kerajaan, tanpa pembangkang.

Sejarah politik Sarawak menyaksikan tidak pernah dalam mana-mana pilihan rata, kerajaan yang memerintah menyapu bersih semua kerusi, biarpun ia memiliki kelebihan yang besar.

Sejak tahun 1969 hingga 1987, PRN Sarawak menyaksikan 48 kerusi menjadi rebutan.

Pada PRN 1969-1970, Parti Perikatan (yang menggunakan logo kapal layar) telah membawa pulang 15 kerusi, sambil (Parti Kebangsaan Sarawak) SNAP 12 dan SUPP 12. PESAKA pula menang lapan kerusi, manakala Bebas 1 kerusi.

Ketika ini, SNAP menjadi pembangkang. Pada PRN 1974, Perikatan yang kemudiannya bertukar menjadi Barisan Nasional (BN), menang 30 kerusi, manakala 18 lagi dimenangi SNAP.

Pada PRN 1979 pula, BN terus kukuh dengan menang 45 kerusi, manakala tiga lagi dimenangi calon Bebas.

Pada PRN 1983, ketika Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri, BN menang 30 kerusi, manakala SNAP lapan, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) enam dan Bebas empat.

Pada PRN 1987, krisis Ming Court menyebabkan BN menghadapi saingan sengit.

Pun begitu, ia menang 28 daripada 48 kerusi yang direbut. PBDS menang 15 kerusi manakala bakinya, lima kerusi dimenangi PERMAS.

Daripada 56 kerusi yang dipertandingkan pada 1991, BN menang 49 manakala bakinya dimenangi PBDS. Lima tahun berselang, pada 1996, jumlah kerusi ditambah kepada 62.

Kali ini BN menang 57 kerusi manakala tiga kerusi dimenangi DAP dan dua Bebas.

Pada PRN 2001, BN menguasai 60 daripada 62 kerusi, dengan DAP dan Bebas masingmasing satu kerusi.

PRN 2006 menyaksikan BN menang 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, sambil DAP enam dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), SNAP dan calon Bebas masing-masing satu.

Pada PRN 2011, BN menang 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. DAP 12, PKR tiga dan Bebas satu.

Manakala pada PRN 2016, BN yang dipimpin Pehin Sri Adenan Satem menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, sambil DAP tujuh dan PKR tiga.

Pada tahun 2021, Abang Johari memimpin GPS untuk menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada 349 calon yang bertanding, DAP menang dua dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) empat kerusi.

Tiga wakil rakyat PSB kemudian menyertai PDP/GPS setelah parti itu dibubarkan, manakala seorang lagi menjadi wakil rakyat Bebas mesra GPS — menjadikan GPS memiliki 80 daripada 82 perwakilan.

Yang pasti, semua perhatian tertumpu kepada Abang Johari ketika ini.

Di atas kertas, beliau dan partinya mempunyai kelebihan  kerana berjaya mencipta hala tuju yang jelas untuk masa depan Sarawak, selain mencetus kemakmuran ekonomi negeri, sehingga dikenali sebagai gergasi ekonomi baharu Asia.

Beliau juga berjaya membina pelbagai jaringan infra yang tidak terfikir oleh rakyat ketika memangkah kerajaannya lima tahun lalu.

Adakah fenomena ini akan berulang?

Adakah parti asal Semenanjung dan parti yang berasaskan rasisme berjaya menakluki pemilih di Sarawak?

PRN yang menjelang akan memberi jawapannya.

BERITA LAIN

Musuh dan kawan lama

SABTU lalu, sebaik sahaja bangun pagi, kepala saya terasa berat. Saya pejam mata dan berkata kepada diri sendiri, janganlah migrain datang lagi! Sudah lama saya

Potensi AI dalam penulisan

SAYA telah menulis untuk lebih daripada 40 tahun. Saya mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan sejak dalam tingkatan enam di Kolej Tanjong Lobang, Miri. Bermula dengan

BERITA TERBARU

BELLA ASTILAH sebak dengar ucapan AYDEN

Ungkapan ringkas tetapi penuh makna daripada Mohamad Ayden Adrean, 9 tahun, itu menjadi antara kata-kata paling menyentuh hati pada majlis resepsi perkahwinan ibunya, Bella Astillah,

Memahami tuntutan jilbab Muslimah

Judul Buku: Jilbab Wanita Muslimah Penulis: Syaikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani Tahun Terbit: 2011 Jumlah Muka Surat: 212  J ilbab Muslimah Menurut Qur’an dan Sunnah ialah buku