ARTIKEL

Musuh dan kawan lama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SABTU lalu, sebaik sahaja bangun pagi, kepala saya terasa berat.

Saya pejam mata dan berkata kepada diri sendiri, janganlah migrain datang lagi!

Sudah lama saya tidak mengalami serangan seperti ini.

Tetapi apabila kepala mula terasa lain macam, saya pasti itu migrain.

Ia kembali selepas beberapa lama.

Sesiapa yang pernah terkena migrain, tahu rasa deritanya.

Ketika migrain menyerang, kita hanya boleh baring sambil memejam mata di dalam bilik gelap yang dingin sedang-sedang.

Cahaya lampu hanya boleh menyebabkan kepala bertambah sakit.

Diam, tutup mata dan baring sehinggakan kita boleh dengar semut berjalan atau jarum jatuh ke lantai.

Sebelum November 2018, saya antara orang yang agak teruk diserang migrain.

Ketika masih aktif menjadi wartawan lapangan, sakit kepala ini memang selalu mengganggu kehidupan.

Cuaca panas antara musuh utama saya.

Kalau berpanas, berpeluh dan lama berada di luar membuat liputan, bersedialah.

Kepala boleh mula berdenyut dan sakitnya bukan main-main.

Sakitnya tidak boleh digambar dengan kata-kata.

Bukan itu sahaja, sepanjang bergelar penghidap migrain, saya sudah kenal pasti pencetusnya.

Minum Milo pun boleh mencetuskan migrain.

Makan coklat juga begitu, termasuk makan kari daging.

Malah, terhidu bau hangit dari ketiak pun boleh membuatkan kepala saya sakit.

Bangun tidur secara mengejut juga antara perkara yang saya alami boleh mencetuskan serangan.

Bayangkan, benda yang orang lain boleh nikmati tanpa masalah, saya pula terpaksa fikir dua kali.

Milo dan coklat pun boleh jadi musuh! Tetapi begitulah pengalaman setiap orang.

Ada perkara yang nampak kecil bagi kita tetapi boleh mendatangkan masalah kepada orang lain.

Ketika menjadi wartawan, saya tidak boleh sesuka hati berehat apabila sakit kepala datang.

Ada tugasan yang perlu diselesaikan, ada acara yang perlu dihadiri dan ada berita yang perlu dihantar.

Kalau tidak, ketua wartawan saya ketika itu akan menempelak, selalu sakit kepala cuba cari teman lelaki.

Saya anggap ia sekadar gurauan kasar daripada lelaki pertengahan usia yang memiliki hidung mancung.

Beliau tahu siapa dia jika membaca kolum ini.

Dia masih kawan saya dan saya tetap memandangnya sebagai bekas ketua yang banyak menanam pengalaman masammasam manis dalam dunia kewartawanan saya.

Sebab saya suka belajar dan terus belajar.

Ketika sakit pun terpaksa meneruskan kerja walaupun kepala sudah mula berdenyut.

Namun hari ini, beberapa wartawan saya penghidap tegar migrain.

Ada yang sampai muntah.

Jadi apabila mereka minta rehat, saya tanpa kompromi meluluskannya. Sebab saya sudah berada di dalam kasut mereka.

Saya tahu sakitnya.

Bertahun-tahun selepas November 2018, apabila saya mula mengambil ubat tekanan darah tinggi, saya mendapati migrain semakin jarang datang.

Saya tidak pasti sama ada keduaduanya mempunyai kaitan dari segi perubatan tetapi itulah yang saya alami.

Tekanan darah tinggi

Dahulu, migrain boleh datang dengan kerap.

Sekarang, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, mungkin empat atau lima kali sahaja.

Dua tahun lalu, saya pernah diserang selama dua hari.

Sakit kepala akibat tekanan darah tinggi dan migrain pula bukan perkara yang sama.

Saya pernah mengalami kedua-duanya dan tahu rasanya berbeza.

Namun, apabila migrain datang semula Sabtu lalu, kenangan lama terus bermain dalam fikiran.

Saya tertanya-tanya, bagaimana agaknya orang yang mengalami migrain hampir setiap hari?

Kalau saya yang sudah lama tidak diserang pun boleh berasa bimbang apabila tanda-tandanya muncul, bagaimana pula mereka yang terpaksa menanggung kesakitan itu berulang kali?

Baru bulan lepas saya membaca kisah seorang wanita dari Wales bernama Lauren Evans.

Kisahnya dicerita kembali dalam bentuk artikel perubatan.

Pada September 2026, Lauren mula mengalami migrain ketika berusia tujuh tahun.

Apabila berusia 24 tahun, serangannya menjadi hampir setiap hari.

Dia pernah menceritakan betapa teruknya kesakitan yang ditanggung sehingga terfikir untuk membunuh diri.

Saya terdiam membaca kisah itu.

Itulah yang kami, kumpulan penghidap migrain alami.

Cuma tidak pernah terfikir untuk bunuh diri.

Kita mungkin tidak dapat membayangkan bagaimana rasanya apabila sakit kepala datang hampir setiap hari.

Belum sempat badan betul-betul pulih, serangan seterusnya datang pula.

Hendak keluar rumah pun mungkin terpaksa berfikir banyak kali.

Hendak bekerja, berjumpa kawan atau keluar makan bersama-sama keluarga, semuanya bergantung pada keadaan tubuh ketika itu.

Yang lebih susah, orang sekeliling tidak semestinya faham.

Kalau kita nampak seseorang berjalan dengan kaki berbalut, kita tahu dia sedang cedera.

Tetapi orang yang mengalami migrain mungkin kelihatan sihat seperti biasa.

Boleh bercakap, boleh tersenyum dan boleh menjalankan urusan harian.

Orang tidak nampak apa-apa yang sedang ditanggungnya.

Sebab itu, kita jangan mudah berkata, sakit kepala saja pun, makan ubat nanti sembuh.

Kalau semudah itu, tentu ramai pesakit migrain tidak perlu bersusah payah mencari rawatan. Saya sendiri pernah mengalaminya.

Ketika kepala mula berdenyut selepas berpanas di luar, bukan mudah hendak menumpukan perhatian kepada kerja.

Apatah lagi bagi mereka yang mengalami serangan yang lebih teruk dan lebih kerap.

Emosi letih

Lama-kelamaan, kesakitan yang berulang juga boleh membuatkan seseorang letih dari segi emosi.

Bayangkan apabila kita terpaksa membatalkan rancangan berkali-kali, tidak dapat bekerja seperti biasa atau selalu meminta orang lain memahami keadaan kita.

Ada masanya, orang sekeliling mungkin menganggap kita terlalu sensitif.

Ada juga yang menyangka kita sengaja mencari alasan untuk tidak melakukan sesuatu.

Sedangkan, mereka tidak berada di tempat kita.

Kisah Lauren harus kita jadi contoh, apabila seseorang yang menanggung kesakitan berpanjangan berkata dia sudah tidak sanggup lagi, kita perlu mengambil serius kata-katanya.

Jangan cepat menghukum atau menganggapnya sekadar mahu mendapatkan perhatian.

Jika seseorang sampai terfikir untuk membunuh diri kerana tidak tahan menanggung kesakitan, dia memerlukan bantuan dan sokongan.

Dia perlu tahu bahawa dia tidak perlu menghadapi semuanya seorang diri.

Saya bersyukur kerana keadaan migrain saya semakin baik berbanding dahulu tetapi pengalaman lama itu masih membuatkan saya faham sakit kepala bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Pencegahan

Sekarang, saya juga belajar untuk tidak memaksa diri sepanjang masa.

Dahulu ketika menjadi wartawan lapangan, selagi tugasan belum selesai, saya akan cuba bertahan.

Sekarang, saya tahu mengatur had kerja sendiri dan mencegah sebelum tanda-tanda migrain itu datang.

Saya berharap migrain tidak kembali menjadi teman rapat seperti dahulu.

Cukuplah sesekali datang menjenguk.

Tidak perlulah menetap lama-lama dalam kepala saya.

Namun kita tidak boleh menganggap semua orang mempunyai tahap kesakitan yang sama.

Yang kita anggap biasa mungkin sangat menyeksakan bagi orang lain.

Jadi, kalau suatu hari nanti ada kawan atau ahli keluarga mengadu migrain, dengarlah dahulu.

Tidak perlu terus memberikan ceramah atau menyuruhnya supaya bersabar.

Kadangkala, memahami dan mempercayai apa-apa yang sedang dialami seseorang itu sudah cukup bermakna.

Lagipun, kita tidak pernah tahu bila kita sendiri mungkin memerlukan pemahaman yang sama daripada orang lain.

Percayalah, jika ada musuh yang tidak perlu dimaaf, migrainlah jawapannya.

BERITA LAIN

Potensi AI dalam penulisan

SAYA telah menulis untuk lebih daripada 40 tahun. Saya mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan sejak dalam tingkatan enam di Kolej Tanjong Lobang, Miri. Bermula dengan

Perang provokasi netizen

PERSaingan bola sepak antara Malaysia dengan Indonesia sekali lagi mencetuskan bahang di luar padang apabila keputusan dramatik pada penghujung peringkat kumpulan Piala ASEAN FIFA 2026

BERITA TERBARU