SHENZHEN: Lawatan rasmi delegasi Sarawak ke dua bandar utama di China membuka peluang untuk menjalin kerjasama dan meneroka teknologi inovatif dalam bidang utiliti, grid pintar, tenaga bersih, serta storan hidro pam canggih.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) menyatakan delegasi yang diketuai oleh Menteri MUT, Datuk Seri Julaihi Narawi ke Taman Industri Ekonomi Kitaran Guangzhou Fushan dan Stesen Janakuasa Storan Hidro Pam Shenzhen itu mengukuhkan komitmen Sarawak dalam meningkatkan daya tahan tenaga serta memperluas kerjasama antarabangsa, khususnya dalam teknologi tenaga hijau.

“Delegasi tersebut melawat Taman Industri Ekonomi Kitaran Guangzhou Fushan yang menempatkan loji janakuasa insinerator terbesar di dunia.
“Mereka diberi taklimat mengenai sistem sisa kepada tenaga bersepadu serta penggunaan sumber tenaga baharu, integrasi grid pintar dan proses penukaran tenaga bersih untuk utiliti bandar mapan dan penjanaan elektrik yang lebih mesra alam,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
Menurutnya, delegasi turut berpeluang melawat Stesen Janakuasa Storan Hidro Pam Shenzhen, salah satu kemudahan hidro pam terbesar dan paling maju di China.

“Infrastruktur storan tenaga seperti ini sangat relevan dengan landskap tenaga Sarawak yang sedang berkembang, terutamanya dengan peningkatan integrasi sumber boleh diperbaharui,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu, Julaihi turut menyertai pertemuan bersama pemimpin Kerajaan Shenzhen dan ketua jabatan yang diketuai oleh Pengarah Besar Pejabat Hal Ehwal Luar Shenzhen, Cao Saixian sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan hubungan dua hala.
“Kedua-dua pihak bertukar pandangan berkenaan bekalan air, bekalan elektrik, telekomunikasi, dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Kemajuan infrastruktur utiliti dan keterhubungan digital di Shenzhen menjadi perhatian utama, terutamanya bagaimana teknologi ini digunakan secara menyeluruh untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan bandar dan yang sedang membangun,” ujarnya.




