ARTIKEL

Delegasi Tabung Amanah Bakun adakan kunjungan hormat ke atas Premier

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang mengetuai delegasi Lembaga Tabung Amanah Bakun mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Kata Liwan, tujuan kunjungan tersebut adalah bagi mendapatkan dana untuk tabung mereka yang kini semakin berkurangan.

Abang Johari menyaksikan penyerahan walaqah zakat daripada pihak AHB kepada TBS. (FOTO:
UKAS)

“Kami telah mendapat dana RM10 juta ketika penubuhan Tabung Amanah Bakun pada 27 tahun lalu iaitu sejak tahun 1997.

“Dana ini telah digunakan untuk memberi biasiswa kepada pelajar secara ‘one-off’ dan mampu menampung untuk tujuh tahun lagi dengan jumlah RM6 juta yang tinggal.

“Jumlah tersebut melibatkan RM4 juta dalam bentuk aset dan RM2 juta dalam bentuk kewangan,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat tersebut.

Jelasnya, pertemuan bersama Premier ini adalah bagi mendapatkan nasihat, memohon serta menyerahkan surat permohonan.

Liwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga turut meminta Sarawak Energy Berhad (SEB) turut menyalurkan dana sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Tabung Amanah Bakun termasuk penduduk di Murum.

“Kami memohon dana sebanyak RM1 juta untuk penduduk di Bakun dan RM1 juta kepada penduduk di Murum yang akan disalurkan secara tahunan.

“Dana ini bukan sahaja untuk pelajar, malah penduduk di dua kawasan tersebut bagi kegunaan bantuan dan sebagainya,” tambahnya.

Terdahulu, Abang Johari menyaksikan pihak Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) menyerahkan Wakalah Zakat berjumlah RM100,000 sebagai wakalah agihan dari zakat perniagaan bagi tahun 2023.

AHB diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Damshal Awang Damit telah menyerahkan zakat tersebut kepada pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) diwakili oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.

Hadir sama, Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Timbalan Pengurus Besar AHB Nadia Edmaz Abdul Hadi dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Asset Management Zulkifli Ishak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU