Demam denggi di Sarawak meningkat dalam tempoh enam bulan pertama

KUCHING: Sebanyak 762 kes demam denggi direkodkan di Sarawak dari Januari hingga 10 Jun tahun ini yang menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu apabila mencatatkan 219 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Jamilah Hashim berkata, bahagian Kuching dilaporkan mempunyai kes tertinggi iaitu 264 dan diikuti oleh Miri (98 kes), Betong (95 kes), Sibu (73 kes), Serian (46 kes), Kapit (44 kes), Samarahan (40 kes), Sarikei (38 kes), Bintulu (24 kes), Limbang (18 kes), Sri Aman (16 kes) dan Mukah (enam kes).

“Di bahagian Kuching, terdapat 37 kes demam denggi dilaporkan berlaku di Kampung Ajibah Abol sehingga 8 Jun lalu.

“Walaupun cuaca panas dan hujan memainkan peranan dalam peningkatan kes demam denggi ini, namun, didapati kawasan yang tidak dipedulikan oleh orang awam seperti tanah terbiar atau lot kosong, tempat pembuangan sampah dan rumah tidak berpenghuni turut menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Jamilah, berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengingatkan masyarakat bahawa usaha menangani penyakit demam denggi ini merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan penglibatan pelbagai agensi.

“Malah, individu atau pemilik premis perlu memastikan kawasan persekitaran di dalam dan luar rumah mereka sentiasa bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk aedes.

“Bagi mencegah penyakit demam denggi, masyarakat dinasihatkan untuk mengambil beberapa langkah seperti memberi kerjasama sepenuhnya terutama membuka pintu dan tingkap semasa aktiviti penyemburan kabus sedang dilaksanakan oleh anggota dari Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Katanya, penduduk juga boleh memusnahkan tempat-tempat yang boleh menakung air dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu.

“Sekiranya mengalami demam, orang ramai dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Sebarang kelewatan bertindak boleh membawa maut,” ujarnya.

Terdahulu, Suara Sarawak melaporkan wabak denggi di Kampung Ajibah Abol dikategorikan sebagai tidak terkawal dengan 37 kes.