PELBAGAI usaha kini sedang giat dilaksanakan untuk memastikan seluruh rakyat menikmati bekalan air bersih sekali gus menampung keperluan yang kian bertambah selain menyedari kepentingannya dalam konteks perubahan dunia hari ini.
Bagaimanapun perlu diakui, keadaan topografi Sarawak yang luas dan sukar merupakan salah satu cabaran terbesar namun hasil komitmen kerajaan, liputan keseluruhan bekalan air di negeri ini, mencecah 85.4 peratus manakala liputan di luar bandar pula dianggarkan pada kadar 70.5 peratus.
Selaras dengan Strategi Pembangunan PascaCOVID 2030 (PCDS 2030), Kementerian Utiliti dan Komunikasi memberi jaminan akan terus meningkatkan usaha untuk mencapai sasaran liputan penuh kemudahan berkenaan dalam menyumbang pencapaian sasaran dan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik (SDG3), Air Bersih dan Sanitasi (SDG-6) dan Kerja Layak dan Pertumbuhan Ekonomi (SDG-8).
Sejumlah RM591.2 juta diperuntukkan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi pelaksanaan 101 projek bekalan air untuk dilaksanakan pada tahun 2024 dan 2025.
Tidak sekadar itu, Kerajaan Sarawak turut meluluskan peruntukan RM4 bilion di bawah peruntukan Pembiayaan Alternatif bagi melaksanakan projek bekalan air di Sarawak sejak tahun 2018.
Daripada 304 projek yang dilaksanakan di bawah program itu, sebanyak 249 buah projek atau 81.9 peratus telah pun siap, 44 projek atau 14.5 peratus sedang dalam pembinaan manakala 11 lagi sedang dalam perancangan.
Pelaksanaan projek itu terbukti banyak menyelesaikan masalah bekalan air khususnya di kawasan luar bandar seperti tekanan air rendah, paip uzur, kapasiti loji rawatan air yang tidak mencukupi dan sebagainya.
Usaha bersepadu itu juga berjaya melonjakkan liputan bekalan air terutamanya di kawasan luar bandar Sarawak iaitu sebanyak 61.9 peratus pada tahun 2018 meningkat kepada 70.5 peratus setakat ini.
Perlu juga disedari, sepanjang 2,742 kilometer (km) saluran paip air lama serta uzur ketika ini masih digunakan dalam sistem agihan bekalan air di seluruh Sarawak yang dikenal pasti sebagai salah satu punca mengakibatkan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) yang tinggi iaitu secara purata sebanyak 43 peratus.
Di samping itu, paip yang uzur ini juga mudah pecah serta menyebabkan tekanan air yang rendah dan terputus bekalan sehingga berlakunya gangguan bekalan air kepada pengguna.
Keadaan ini menyebabkan pihak agensi bekalan air menanggung kos yang tinggi untuk kerja membaik pulih paip tersebut.
Justeru, bagi menangani masalah ini Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.085 bilion melalui Pembiayaan Alternatif dan dilaksanakan secara berfasa.
Kegigihan kerajaan mengatasi masalah ini terbukti membuka mata banyak pihak apatah lagi isu air itu kerap kali dipolitikkan sama ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU) mahu pun Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh pihak tertentu sebagai modal untuk berkempen.
Malah projek berimpak tinggi yang dilaksanakan ini perlu dihargai kerana ia tidak hanya memperkasakan potensi kawasan tertentu di Sarawak tetapi juga berupaya mengurangkan jurang ketidakseimbangan pembangunan antara penduduk bandar, luar bandar dan wilayah.



