Demi budaya ilmu

SALURAN NTV7 sentiasa menjadi ingatan kepada anak-anak yang lahir pada tahun 80-an, 90-an dan mungkin awal tahun 2000 kerana rancangan kartun yang disiarkan.

Sebut sahaja rancangan kartun Jepun seperti Sin Chan, Doraemon, Ninja Boy, Slam Dunk dan pelbagai lagi rancangan kartun yang disiarkan di NTV7. Anak-anak ketika itu semestinya ketawa tidak kering gusi dan berasa seronok tatkala menonton rancangan kartun kegemaran mereka.

Selain rancangan kartun yang digemari ramai, anak-anak yang sedang membesar ketika itu turut disajikan dengan program menarik iaitu Edisi Siasat yang berkisar pada berita unsur siasatan dan jenayah. Siapa tidak kenal pengacara Wan Kamaruddin yang mengacara Edisi Siasat secara bersahaja dan terkenal dengan tagline; ‘’Apa kejadahnya semua ini!’’.

Isu Edisi Siasat sentiasa isu panas berkait jenayah, rasuah, jenayah kolar putih malah ada yang penjenayah menawarkan habuan kepada krew Edisi Siasat agar kegiatan haram mereka tidak disiarkan.

Demikian ingatan saya mengenai saluran NTV7 yang mula bersiaran 23 tahun yang lalu atau lebih tepat, pada 7 April 1998. NTV7 akan mengundur diri dan memberi laluan kepada saluran khusus TV pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM.

Menerusi kenyataan KPM baru-baru ini, saluran itu akan bersiaran pada 17 Februari mulai jam 7.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah malam setiap hari. Kata KPM, Siaran DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV UNIFI.

Manakala, bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

Kata KPM, DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

Kenyataan itu turut menyebut, saluran itu juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) dan kandungan yang dihasilkan oleh murid, di samping program antarabangsa yang sesuai.

Tambahnya, saluran DidikTV KPM adalah platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat bermaklumat.

Dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada NTV7 atas siaran rancangan kartun semasa saya kecil. Bagi adik-adik yang bersekolah, saya berharap adik-adik mengambil manfaat pada saluran DidikTV KPM sepanjang belajar dari rumah ketika ini.