BETONG: Sarawak sedang menuju ke arah model pembangunan mampan dan baik apabila permasalahan perguruan dapat ditangani dengan sempurna.
Menegaskan perkara tersebut Pengerusi Persatuan Warga Islam Saribas (PERWARIS) Profesor Madya Dr Bolhan Budeng berkata, cadangan Kerajaan Sarawak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti di Sarawak menawarkan kursus perguruan sebagai berwawasan jauh.
Menurutnya, cadangan tersebut demi kesejahteraan perguruan di Sarawak memandangkan wilayah ini sendiri lebih mengetahui keperluan sistem perguruannya.
“Cadangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sangat bagus dan jika dapat dilaksanakan, ia satu perkembangan positif apabila Kerajaan Sarawak dapat menentukan kesinambungan profesion guru di negeri ini selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi.
“Saya yakin, Sarawak menuju ke arah model pembangunan yang mampan dan baik apabila permasalahan perguruan ini dapat ditangani dengan sempurna ke arah modal insan lestari.
“Justeru mewakili PERWARIS, kita sangat mengalu-alukan inisiatif tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Jelasnya yang juga Pensyarah Fakulti Pertanian dan Sains Gunaan Kolej Universiti i-CATS, cadangan tersebut tepat pada masanya bagi mengatasi kekurangan guru di Sarawak yang masih berlarutan.
“Melahirkan guru dalam kalangan anak tempatan (orang Sarawak) seperti disarankan oleh Abang Johari memang wajar kerana ini bukan sahaja dapat memberikan peluang pekerjaan tetapi mereka lebih memahami budaya serta keperluan semasa ekoran keakraban dan pemahaman bahasa tempatan.
“Kualiti pendidikan merupakan kayu ukur untuk kemajuan sesebuah negara dalam konteks Sarawak. “Oleh itu, apa yang ditegaskan Premier Sarawak tempoh hari tepat dengan perkembangan semasa Sarawak agar mampu melahirkan guru anak tempatan selaras dengan pembangunan terkini,” ujarnya.
Tambahnya, tidak sangsi mengapa standard perguruan harus dirubah atau berkembang.
“Tidak hairan mengapa sesebuah negara yang lebih maju dapat melahirkan sumber manusia yang mantap. “Dan sesebuah negara juga mempunyai standard pendidikan yang berbeza.
“Maka, asasnya adalah daripada sistem perguruan yang mantap dan lestari mengikut keperluan dan perkembangan semasa,” katanya sambil menambah, keperluan guru merangkumi piawaian serta kualiti,” katanya.
Sebelum ini, Abang Johari memberitahu Sarawak masih berdepan masalah kekurangan sehingga 3,000 orang. Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak sedang berunding dengan KPM untuk mengatasi masalah berkenaan.
“Kita (Kerajaan Sarawak) berunding agar maktab dan universiti di Sarawak menyediakan pengajaran dari sudut perguruan.
“Ia sebagai usaha untuk menambah guru dan ini kita beri perhatian kepada anak Sarawak sendiri yang boleh dilatih menjadi guru dan mengajar di sekolah kita (Sarawak),” tegasnya.



