Denda RM5,000 rosakkan barang hotel

KUCHING: Seorang lelaki berasal dari Kuala Lumpur dikenakan denda RM5,000 ataupun tujuh bulan penjara setelah dia mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyebabkan sebuah hotel kerugian RM5,000 berupa barangan milik hotel berkenaan.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar mengarahkan Jonathan Goh Yaw Chang, 36, membayar denda tersebut setelah dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Jonathan telah melakukan khianat dengan merosakkan televisyen, kabinet kaca, sebuah sofa berlapis, sepasang bantal, satu set pembesar suara dan sebagainya.

Tertuduh telah melakukan kerosakan terhadap barang-barang berkenaan dengan membuangkannya melalui tingkap di tingkat 4 sebuah bilik di hotel berkenaan pada jam 1.34 pagi pada 20 Febuari lalu.

Menurut fakta kes, pengawal keselamatan (pengadu) di hotel terbabit telah melaporkan bahawa pada jam 9.50 malam ketika sedang bertugas seorang lelaki yang menyewa bilik di tingkat 4 hotel berkenaan telah membuang barangan kepunyaan hotel terbabit.

Suara Sarawak