KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini, menolak rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan atas penalti yang dikenakan tidak mencukupi terhadap seorang warga emas lelaki, kerana memiliki 1,322 biji telur penyu secara haram.
Terdahulu, pada 20 Januari 2025, Abg Hassimsah, 60, dari Matang dijatuhkan hukuman denda RM39,660 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 37(2)(a) yang dibaca bersama Seksyen 29(1)(c) yang sama.
Dia didakwa memiliki telur penyu spesies chelonidae itu di sebuah premis di Taman Lee Ling, Jalan Matang, sekitar 10 pagi, 15 Julai 2023.
Hakim Mahkamah Sesyen Iris Awen Jon menjatuhkan denda sebanyak RM30 bagi setiap biji telur penyu.
Dalam menyampaikan keputusan hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Wong Siong Tung menyatakan bahawa hukuman terbabit mematuhi ordinan.
Selain itu, beliau mengulas bawah Garis Panduan Hukuman Jenayah Hidupan Liar dan Kalkulator Garis Panduan Hukuman (WILDCAL) yang dilancarkan pada 2022 dan 2024 adalah sebagai nasihat untuk hakim perbicaraan.
“Hakim yang mempengerusikan perbicaraan mempunyai budi bicara untuk menilai hukuman yang sesuai setelah mempertimbangkan faktor-faktor yang memberatkan dan meringankan,” katanya.
Mahkamah Tinggi mendengar rayuan pada 2 Mac lalu, yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin.
Manakala, responden hadir ke mahkamah diwakili Peguam Jong Yee Ling.



