Perpaduan dalam kalangan rakyat mampu diperkukuh melalui sajian kerana meja makan sering menjadi ruang yang merapatkan hubungan dan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Kisah perjalanan Depo Kitchen, sebuah jenama makanan tempatan dari Sarawak, menjadi bukti bahawa hidangan yang disediakan dengan penuh keikhlasan mampu menjadi wadah penyatuan serta simbol ketabahan anak tempatan.
Bertitik tolak daripada detik paling mencabar semasa pandemik COVID-19, perjalanan Depo Kitchen membuktikan kesukaran hidup bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada kejayaan yang lebih besar dan bermakna buat masyarakat.
KANOPI BIRU
Menurut pemiliknya, Masduqi Kusni Thamrin, perjalanan Depo Kitchen tidak dibina dalam sekelip mata.
Sebelum menceburi industri perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), Masduqi mengusahakan perniagaan perkhidmatan pengurusan acara, manakala isterinya, Dayang Puspasari Abang Spian, mengusahakan perniagaan kecantikan menerusi Lash & Studio di Metrocity, Matang.
Namun, pandemik COVID-19 pada 2020 menjеjaskan kedua-dua perniagaan berkenaan sehingga memaksa mereka mencari sumber pendapatan baharu demi kelangsungan hidup.
Malah, Masduqi berdepan detik sukar apabila terpaksa membuat keputusan untuk menjual keretanya sendiri bagi mengumpul modal permulaan untuk memulakan perniagaan makanan.
Langkah pertama dimulakan secara kecil-kecilan menerusi jenama FoodSetGo by Puspa dengan menjual Salmon Mentai dan Vietnamese Roll secara tempahan awal, ambil sendiri serta bayaran semasa penghantaran (COD).
Menurut beliau, beberapa resipi yang disediakan diilhamkan oleh isterinya, Dayang Puspasari, khususnya ketika isterinya mengandung bagi memenuhi selera dan keinginannya ketika mengidam.
Bagaimanapun, sambutan yang menggalakkan menjadi pemangkin keyakinan mereka untuk meneroka bidang makanan dengan lebih serius.
Pada Julai 2022, perniagaan itu mula dijalankan dari rumah dengan hanya berbekalkan kanopi biru bersaiz 10 X 10 kaki di bawah jenama Kunafa Depo Semariang.
Jenama itu membawa kelainan dengan mempopularkan pencuci mulut kunafa yang ketika itu tidak popular di Semenanjung Malaysia.
Matlamatnya cukup mudah, iaitu memberi peluang kepada warga Kuching menikmati hidangan berkenaan tanpa perlu pergi jauh ke Semenanjung Malaysia.
Sambutan luar biasa yang diterima mendorong mereka menambah tiga set meja dan kerusi pada Oktober 2022 untuk pelanggan yang mahu menikmati hidangan di lokasi.
Seiring dengan pertambahan pilihan menu yang merangkumi nasi ayam penyet, nasi goreng, mi goreng dan pelbagai jenis minuman, jenama itu secara rasmi dijenamakan semula sebagai Depo Kitchen.
Jumlah meja kemudian bertambah daripada tiga set kepada 12 set, manakala Depo Kitchen terus mendapat tempat di hati masyarakat tempatan.

MENJULANG JENAMA TEMPATAN
Berkat usaha gigih dan sokongan berterusan daripada pelanggan, Depo Kitchen melakar sejarah manis apabila berjaya membuka restoran pertamanya di Matang, Kuching pada Januari 2025.
Perjalanan kejayaan itu diteruskan dengan pembukaan cawangan keduanya di Kota Samarahan pada September 2025.
Lebih membanggakan, perniagaan yang pada asalnya dimulakan dengan hanya seorang pekerja kini berkembang pesat dan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 60 orang.
Antara pencapaian membanggakan Depo Kitchen ialah apabila dinobatkan sebagai salah satu pemenang anugerah berprestij Grab 5-Star Eats Awards 2025.
“Kejayaan sebenar bukan diukur berdasarkan bilangan cawangan semata-mata, tetapi pada keupayaan perniagaan yang lahir daripada fasa sukar ini untuk menjadi sumber rezeki dan membuka peluang kerja kepada ramai orang.
“Pengiktirafan yang diterima ini merupakan hasil kerja keras seluruh pasukan, dari bahagian dapur, kru perkhidmatan dan penyelia hinggalah kepada sokongan serta kepercayaan berterusan daripada pelanggan,” ujarnya ketika ditemui bual Suara Sarawak di Depo Kitchen Matang baru-baru ini.

IDENTITI SAJIAN MALAYSIA
Menurut beliau, antara ciri utama yang menjadikan Depo Kitchen istimewa ialah keupayaannya menghimpunkan pelbagai tradisi kulinari di bawah satu bumbung.
Menu yang ditawarkan tidak disediakan semata-mata mengikut aliran semasa, sebaliknya disesuaikan dengan selera masyarakat Sarawak sambil mengekalkan identiti cita rasa tempatan.
Daripada kunafa, nasi kandar, nasi ayam gepuk dan nasi ayam penyet hingga nasi ayam bakar, setiap hidangan disediakan dengan menitikberatkan aspek kualiti, saiz hidangan, rasa serta harga yang berbaloi.
Sekiranya terdapat satu hidangan yang wajib diperkenalkan kepada pengunjung dari luar Sarawak, nasi ayam gepuk menjadi pilihan utama.
Gabungan ayam goreng rangup, sambal gepuk pedas yang kaya dengan rasa serta hidangan sampingan yang melengkapinya menyerlahkan identiti unik Depo Kitchen.
Menerusi sajian ini, pengunjung dari luar bukan sahaja dapat menikmati makanan yang memenuhi cita rasa, malah turut membawa pulang kenangan indah tentang keistimewaan industri makanan dan minuman tempatan Sarawak.

MAKANAN SIMBOL PERPADUAN
Sempena sambutan Hari Malaysia 2026 yang lalu, falsafah yang dibawa oleh Depo Kitchen sejarar dengan nilai perpaduan negara.
Makanan menjadi bahasa yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang budaya.
Pengalaman menikmati hidangan di Depo Kitchen memperlihatkan keindahan sebenar Malaysia apabila masyarakat daripada pelbagai latar belakang duduk semeja, berkongsi selera dan mencipta kenangan bersama.
Sama ada berasal dari Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung Malaysia, perbezaan budaya tidak pernah menjadi penghalang untuk masyarakat berkumpul dan meraikan kebersamaan.
Melangkah ke hadapan, perjalanan Depo Kitchen masih panjang. Jenama tempatan anak Sarawak ini bercita-cita untuk terus berkembang, bukan sahaja dengan mengukuhkan kedudukannya di Bumi Kenyalang, malah melangkah lebih jauh untuk menempa nama di seluruh Malaysia.




