
MINGGU lepas saya berpeluang menikmati makan tengah hari bersama-sama seorang rakan di sebuah kedai makan di Satok.
Kami berdua pernah bersekolah sama namun sudah lama tidak bertemu selepas masing-masing sibuk dengan tugasan harian dan keluarga.
Dia memulakan perbualan dengan memaklumkan mengenai kesukaran menjana pendapatan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia sebelum ini.
Semasa Covid-19 melanda, dia menjalankan perniagaan namun terpaksa gulung tikar disebabkan keadaan tidak mengizinkan.
Saya sedih mendengar luahan dia kerana pernah ikat perut selepas perniagaan yang diusahakan kurang mendapat sambutan.
Ternyata perubahan dunia akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak keluarga terpaksa mengharungi detikdetik sukar.
Di tengah-tengah kesukaran ini, sahabat saya yang bergelar suami terpaksa mengepalai ahli keluarga cuba berdepan tekanan hidup yang semakin meruncing.
Aspek kewangan menjadi beban utama yang membawa kepada kesan dalam aspek psikologi disebabkan keinginan diri untuk terus bergelar ketua keluarga yang dihormati dan mampu terus berdiri.
Malangnya saban hari, kita semakin kerap dikejutkan berita berkaitan lelaki yang telah bergelar suami dan bapa menamatkan nyawa sendiri dek tak tahan terhimpit masalah peribadi.
Persoalannya – apakah yang mendorong ramai golongan lelaki hilang arah, sanggup mengorbankan diri sendiri?
Sebelum kita masuk ke perbincangan statistik dan fakta yang lebih serius, ingin saya ceritakan berkenaan seorang rakan yang mengalami tekanan melampau akibat kesukaran menyara keluarga.
Kami bersekolah bersama-sama selama lima tahun semasa peringkat menengah dan hubungan kami mula putus sejak kami masuk ke peringkat pendidikan tertiari.
Tamat pengajian, rakan saya ini tidak menunggu lama untuk jadi seorang yang agak berjaya ekoran kemahirannya.
Dia menjadi kumpulan pelajar terawal antara kami menjalankan perniagaan sendiri, sering rapat dengan orang kenamaan serta diberikan peluang menyertai ekspo kejuruteraan anjuran kerajaan.
Syarikat yang dibangunkan beliau bersama-sama rakan kongsinya tampak terus rancak membangun dan dia melalui perkongsian media sosial beliau, nampak bahagia bersama isteri dan anak dua orangnya.
Selepas perniagaannya bungkus atas bermacam faktor, dia cuba mencari pekerjaan namun jarang temuduganya berhasil.
Tanpa sumber pendapatan, sahabat saya ini dan isteri berniaga nasi dan kuih di tepi jalan bagi menyara hidup.
Sejak tahun 2015 sudah dilaporkan 65 peratus daripada kes bunuh diri melibatkan warga tempatan dan warga asing dilakukan oleh orang lelaki.
Bagaimanapun harus diperjelaskan, berlaku perubahan ketara ketika era pandemik yang mana kes kematian bunuh diri melibatkan wanita naik hingga empat kali ganda melebihi lelaki.
Apa yang menakutkan, majoriti kes bunuh diri yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan golongan anak muda tidak kira jantina berusia 15 hingga 18 tahun merangkumi hampir separuh jumlah keseluruhan kes.
Apabila kita memfokuskan perbincangan kita kepada subjek kes bunuh diri melibatkan lelaki, kes yang berlaku biasanya cukup tragis.
Dalam laporan bulan Mac tahun 2022 oleh New Straits Times, PDRM melaporkan kenaikan jumlah kes cuba bunuh diri setiap tahun; 193 (bagi tahun 2016), 256 (2017) 261 (2018), 241 (2019), 223 (2020) dan 312 (2021).
Majoriti kes cuba bunuh diri atau 67.9 peratus adalah melibatkan individu lelaki, dengan 60.3 peratus daripada keseluruhan kes melibatkan individu berusia 19 ke 40 tahun (133 lelaki, 57 perempuan).
Punca utama kebanyakan kes ini berlaku direkodkan akibat tekanan mental dan masalah kewangan.
Berdasarkan trend semasa, Malaysia mempunyai kadar lima kes bunuh diri setiap hari menjadikan kita negara paling teruk kadarnya jika dibandingkan dengan negara lain yang majoriti rakyatnya orang Islam.
Golongan lelaki mempunyai masalah untuk menangani tekanan mental dengan lebih baik jika dibandingkan dengan wanita. Lelaki juga enggan bercerita tentang masalah mental atau masalah yang sedang mereka hadapi kepada orang lain, kadang kala termasuklah kepada pasangan sendiri.
Ekoran daripada kelemahan ini, ramai lelaki memilih untuk terus cuba berhadapan masalah yang tidak mampu mereka tangani sendirian sehingga akhirnya ada yang terpaksa memilih jalan keluar di luar batasan pemikiran.
Situasi ini tidaklah hanya terhad kepada negara kita, bahkan turut sama berlaku di kebanyakan negara berbeza apabila kita bercakap tentang pelaku lelaki.
Seandainya pasangan anda baru saja hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan atau sedang bergelut dengan masalah yang menggugat kedudukannya sebagai ‘ketua keluarga’, rajin-rajinlah bertanya khabar.
Tindakan ‘menyibuk-nyibuk’ anda itu mungkin dapat menyelamatkan satu nyawa daripada melakukan tindakan yang bodoh – yang bagi mereka, adalah satu-satunya jalan keluar yang mereka ada.
Kita tidak lagi hanya berdiam diri sekiranya ada kenalan rapat yang berdepan masalah.
Kalau boleh kita perlu memberi perhatian dan cuba membantu. Kalau tidak dapat membantu mungkin boleh memberi kata-kata nasihat supaya tiada tindakan melampau dilakukan.