KELAKUAN buli di sekolah dalam kalangan anakanak harus diterap sebagai kesalahan serius dan bukannya norma biasa.
Sehingga hari ini, biarpun dalam kecanggihan teknologi, kelakuan buli tidak pernah surut. Bahkan terus menjadi trend yang membimbangkan.
Pada Ogos tahun lalu misalnya, kerajaan mengesahkan berlaku lonjakan insiden buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Dianggap sebagai trend jenayah moden yang agak membimbangkan pihak kerajaan sendiri, terutama di asrama.
Lebih teruk, kelakuan buli mengakibatkan kecederaan dengan sengaja dan ada yang dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan statistik bermula Januari sehingga akhir Julai 2022, sebanyak 122 kes buli disabitkan kesalahan berbanding cuma 50 kes dicatatkan pada sepanjang tahun sebelumnya.
Jadi, yang mengejutkan apabila segelintir pelaku dikatakan tidak tahu ia kesalahan serius.
Mungkin mereka beranggapan buli bukan salah satu cabang jenayah yang mendatangkan kesan buruk, atau ada yang menganggapnya sebagai usikan.
Perspektif ini perlu diubah kerana agak dangkal jika buli terus dianggap bukan kesalahan serius.
Yang akhirnya dibimbangi menjadi norma hidup di sekolah.
Justeru, generasi muda pada masa ini harus ditegaskan bahawa buli bukan sebagai norma biasa.
Si pelaku harus memiliki rasa bersalah jika melakukannya, lebih-lebih lagi melihat mangsa buli menderita kesakitan.
Berdasarkan kajian antarabangsa pada 2015 oleh National Center for Education Statistics, kes buli dalam kalangan pelajar di beberapa negara berada pada tahap yang membimbangkan.
Justifikasi ini merujuk kepada panduan yang diberi oleh pelopor dan pakar buli dunia, yang merumuskan bahawa peratusan kes dalam lingkungan 10 hingga 15 peratus adalah serius.
Berpandukan statistik yang didedahkan pada 2017 juga, insiden buli dalam kalangan pelajar berumur antara 13 hingga 14 tahun di Malaysia berada pada kedudukan ketujuh tertinggi daripada 53 negara yang menyertai kajian berkenaan.
Bersangkut-paut dengan penglibatan pelajar dalam insiden buli, kajian mendapati bahawa 16.2 peratus daripada responden dibuli sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.
Pelajar lelaki lebih kerap menjadi mangsa. Kebanyakan mengalami insiden dipermainkan rupa paras dan tubuh badan, diusik dengan jenaka, komen dan isyarat berbentuk seksual, diejek kerana berlainan bangsa, didera secara fizikal, diasingkan secara sosial dan diejek kerana perbezaan agama.
Walau bagaimanapun, semakin meningkat usia, semakin berkurangan insiden buli yang dialami.
Dalam satu rencana terbitan hellodoctor.com pada 15 Mei 2023, kelakuan buli sering dianggap sebagai usikan.
Sedangkan mengusik dikaitkan dengan perbuatan bergurau dan berjenaka… kebiasaannya tidak akan menyentuh isu agama, bangsa, fizikal atau pelbagai karakter individu lain.
Membuli pula dilakukan memang untuk mendatangkan kesan yang mendalam kepada mangsa, lazimnya menyentuh hal seperti di atas.
Dalam maksud lain, mengusik berlaku antara dua individu yang sudah mempunyai hubungan yang sangat rapat, mempunyai nada dan unsur gembira serta diselangi dengan senyum ketawa.
Paling mudah untuk kita tahu, seseorang yang diusik tidak berasa terganggu.
Bagaimanapun, mengusik boleh beransur menjadi buli sekiranya ada antara teman mereka yang diusik mula berasa terganggu.
Dalam konteks ini, bahan usikan mula berubah daripada yang menyenangkan hati kepada menyakitkan.
Mula terdapat ketidakseimbangan kuasa ekoran pelajar yang mengusik berkuasa terhadap mereka yang diusik.
Usikan tersebut berlaku secara berulang-ulang.
Maka, berhatihati dan ajar anak-anak untuk membezakan agar tidak menjadi mangsa buli.
Bagi menyelesaikan isu ini, pelbagai pihak perlu bersama-sama turun padang untuk membanteras gejala buli ini.
Jika dilihat, saluran media sosial seperti Facebook, Instragram, twitter dan WhatApps, boleh digunakan sebagai wadah mendidik ibu bapa, remaja dan keluarga tentang permasalahan ini.
Gemar juga untuk penulis sebut — jangan takut melapor dan pihak sekolah tidak harus mengambil tindakan menyorok sebarang kes biarpun dilihat akan mencemarkan imej sekolah.
Seseorang yang merasakan dirinya telah dibuli, harus berani bersuara… anda ada hak untuk mengadu.
Laporkan kepada warden asrama, guru kelas atau setidak-tidaknya pengawas dengan menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.
Walaupun dengan tindakan tersebut menyebabkan si pelaku buli lebih agresif, tolong jangan dirahsiakan.
Ingat, kita ke sekolah bukan untuk dibuli… kita sekolah untuk menimba ilmu.
Apabila pihak sekolah tidak diberitahu, si pembuli akan terus bermaharajalela.
Impaknya kepada kita sendiri atau mungkin mereka lebih berani melakukannya terhadap orang lain.
Dan pihak sekolah apabila sudah menerima aduan daripada pelajar, berusahalah mencari solusi terbaik.
Masyarakat cukup khuatir apabila ada sekolah menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum, termasuk masalah sosial lain semata-mata menjaga nama sekolah.
Bagi penulis, sekolah mahupun ibu bapa disaran untuk tidak memandang remeh setiap aduan anak-anak.
Biarpun tidak perlu mempercayai secara bulat-bulat, sekurang-kurangnya ada usaha untuk menyelidik.
Kadangkala kita bimbang, setelah terjadi sesuatu yang buruk, baharulah hendak bertindak.
Bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Ingat, buli di sekolah mendatangkan kesan serius.
Penderaan emosi dan mental akibat kelakuan buli boleh menyebabkan hilang tumpuan anakanak untuk belajar, bahkan ada yang enggan pulang ke asrama (turun ke sekolah).
Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat Husnizam Hosin dalam satu tulisan di akhbar nasional menyatakan, kesan buli terhadap mangsa adalah prestasi akademik merosot.
Ini disebabkan hilang minat untuk belajar, ponteng kelas kerana takut, suka menyalahkan diri sendiri dan tidak yakin terhadap kebolehan dan potensi diri.
Kesan buli terhadap pembuli pula adalah mereka mungkin terlibat dengan jenayah lebih serius apabila dewasa kelak.
Bagi saksi insiden buli, mereka turut menerima implikasi menyaksikan perbuatan tersebut seperti berasa bersalah kerana tidak dapat membantu mangsa Sepatutnya pada tahun 2023 ini, tiada lagi kelakukan seperti ini, tetapi ironinya cukup berbeza.
Maka dengan ketetapan Falsafah Pendidikan Negara ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, ia diharap dapat mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Oleh itu, usaha berterusan perlu dibuat untuk memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada pelajar bagi memastikan mereka mendapat ilmu berguna dan dapat membentuk keperibadian mulia.
Semoga kelakuan buli yang disifatkan tiada penghujung dapat dikurangkan dari semasa ke semasa, seterusnya dinoktahkan.