Selepas lapan tahun dalam industri seni tanah air, impian pelakon Alya Iman untuk muncul di layar perak akhirnya tercapai menerusi filem pertamanya, Pewaris Susuk.
Alya atau Nur Alya Iman Azmil, 25, berkata di sebalik kegembiraannya, terselit rasa rindu yang mendalam terhadap kedua-dua ibu bapanya, iaitu Allahyarham Azmil Mustapha dan Jamaliah Jamari, yang tidak sempat menyaksikan detik bersejarah tersebut.
Menurut Alya, detik melihat dirinya di layar skrin besar buat pertama kali cukup emosional, lebih-lebih lagi selepas menunggu lapan tahun untuk mencapai impiannya itu.
“Sebenarnya, sudah tentu saya berasa emosional apabila melihat diri sendiri di skrin besar.
“Saya berharap ibu bapa saya ada di sini dan orang tersayang dapat bersama-sama, tetapi saya sentiasa mengingatkan diri untuk menghargai individu yang sentiasa ada untuk saya.
“Namun begitu, dalam hati timbul perasaan sedih dan bangga.
Walaupun perkara ini kecil bagi orang lain, namun ini merupakan satu pencapaian bagi diri saya,” katanya.
Mengimbas kembali, Alya berkata arwah ayahnya sebelum ini tidak menghalang minatnya dalam bidang lakonan, namun lebih menasihatinya supaya memberi tumpuan kepada pembelajaran.
“Satu ketika dahulu, arwah ayah tidak membenarkan saya berlakon.
Bukan tidak mengizinkan, tetapi menyuruh saya memberi fokus kepada pelajaran.
Namun, saya tetap melanggar nasihat tersebut
. “Apabila melihat ayah berlakon, sudah tentu saya juga ingin menjadi seperti beliau.
“Apabila saya mula menceburi industri ini, saya menyimpan impian untuk berlakon dalam filem. Apabila melihat wajah sendiri di layar perak, saya berasa sebak,” ujarnya.
Menerusi Pewaris Susuk, Alya membawa watak Maya, iaitu seorang pembantu rumah kepada watak utama, pasangan suami isteri Hadiff lakonan Datuk Rosyam Nor dan Seroja yang dilakonkan oleh Che Puan Sarimah Ibrahim.
Filem seram arahan Faizal Nadxaman dengan skrip nukilan Naza Manas ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 April lalu.



