KOTA SAMARAHAN: Dewan D’Arena Datuk Rubiah Wang di Taman Desa Ilmu bakal dinaik taraf dengan peruntukan kira-kira RM300,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, berkata langkah itu penting untuk memenuhi keperluan lebih 10,000 penduduk di kawasan itu.
“Insya-Allah, kita akan menaik taraf dewan ini dengan beberapa penambahbaikan supaya kemudahannya menjadi lebih baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Komuniti Sukan dan Rekreasi Taman Desa Ilmu bertemakan ‘Bersama Aktif, Komuniti Progresif’ di D’Arena Datuk Rubiah Wang, Lorong 14, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan majlis penukaran nama dewan berkenaan daripada Dewan Taman Desa Ilmu kepada D’Arena Datuk Rubiah Wang.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk, khususnya golongan belia dan persatuan komuniti, agar lebih aktif menganjurkan program sukan dan rekreasi bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, dewan yang siap dibina pada September 2011 itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai ruang untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Saya tidak mahu dewan ini dibiarkan begitu sahaja. Kita perlu memudahkan orang ramai menggunakannya kerana kemudahan ini disediakan untuk semua.
“Tidak ada gunanya kita menyediakan kemudahan jika tiada program atau aktiviti dianjurkan. Jadi, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini demi kepentingan masyarakat,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Rubiah turut mengumumkan perancangan untuk menyusun semula jawatankuasa pengurusan dewan bagi memastikan pentadbiran dan penyelenggaraannya dilaksanakan dengan lebih teratur.
Jelasnya, dewan itu ketika ini diuruskan Pertubuhan Rekreasi Taman Desa Ilmu (PRTDI), namun struktur pengurusan yang lebih jelas diperlukan bagi memudahkan permohonan peruntukan penyelenggaraan.
“Tanpa pertubuhan yang berdaftar, agak sukar untuk mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dewan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rubiah turut menggesa golongan belia supaya mengimbangi penggunaan teknologi dengan aktiviti fizikal dan interaksi secara bersemuka.
Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap kebergantungan yang berlebihan kepada telefon bimbit, permainan dalam talian dan kecerdasan buatan (AI) kerana boleh menjejaskan hubungan sosial serta menyumbang kepada masalah kesihatan mental.
“AI sememangnya boleh membantu dan memudahkan kehidupan kita, tetapi jika tidak dikawal dengan baik, teknologi itu juga boleh membawa kemudaratan,” tegasnya, sekali gus menggalakkan masyarakat supaya lebih aktif menyertai kegiatan sukan dan rekreasi bagi meningkatkan kesejahteraan fizikal serta mental.





