SARIKEI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak memperhebat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 menerusi penyusunan gerak kerja dan pengukuhan jentera parti di semua peringkat bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya itu.
Naib Yang di-Pertua PBB Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, persiapan awal sudah dilaksanakan dan parti kini bersedia melaksanakan langkah seterusnya.
Beliau berkata, beberapa perbincangan di peringkat negeri sudah diadakan bagi menyelaras strategi serta pembahagian tanggungjawab, termasuk menerusi penyelarasan kepimpinan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Malah, jawatankuasa khas turut diwujudkan bagi memastikan setiap aspek berkaitan pengurusan dan persediaan pilihan raya dapat dilaksanakan secara sistematik serta berkesan,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi taklimat bersama ahli PBB N.41 Kuala Rajang di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu membuktikan PBB mengambil langkah proaktif dengan memulakan persiapan lebih awal tanpa menunggu tarikh pilihan raya semakin hampir.
Len Talif berkata, keutuhan organisasi parti turut bergantung kepada hubungan yang kukuh antara barisan kepimpinan dengan ahli di peringkat akar umbi yang menjadi asas kekuatan PBB.
Jelasnya, kesepakatan dalam kalangan anggota serta pemahaman bersama terhadap hala tuju parti dan agenda pembangunan Sarawak perlu terus dipelihara bagi memastikan kekuatan organisasi sentiasa terjamin.
“Saya optimis perpaduan dan komitmen seluruh anggota akan menjadi kelebihan kepada PBB dalam menghadapi PRN-13, selain membantu parti memperoleh mandat rakyat berdasarkan rekod serta sokongan yang dibina selama ini,” katanya.






