KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka menyaksikan pemeteraian penyelesaian pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini.
Menurut Perdana Menteri, pemeteraian itu akan dicapai sekiranya syarat-syarat terperinci disepakati antara kedua-dua negara dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
“Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand berbincang untuk memeterai syarat-syarat terperinci.
“Sekiranya disepakati, ia akan disaksikan (pemeteraian) oleh saya dan Presiden Donald Trump yang juga mendukung penyelesaian ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (Pakatan Harapan – Gombak) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pencapaian utama Kepengerusian ASEAN-Malaysia.
Sementara itu menjawab soalan awal Amirudin berkenaan senarai pemimpin negara dan pertubuhan antarabangsa yang akan hadir, Anwar berkata kesemua 11 pemimpin negara-negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste hadir dengan turut menghimpunkan wakil dari setiap benua.
Kata beliau, antara pemimpin luar yang hadir ialah Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, Premier China, Li Qiang, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, Perdana Menteri Rusia, Alexey Overchuk dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Turut hadir ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, Presiden Kesatuan Eropah, Antonio Costa dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa,” katanya. – TVS






