1. Bagaimana perniagaan anda ini bermula?
Bermula dengan sebuah kedai kecil dan stok terhad, saya berhasrat membantu orang ramai melabur secara selamat.
2. Apa yang mencetuskan minat anda terhadap emas?
Emas membantu saya semasa kecemasan dan memberikan pulangan pelaburan yang lumayan.
3. Apakah yang orang ramai perlu tahu tentang emas?
Mutu emas mestilah terjamin, kadar upah berpatutan dan kejujuran peniaga.
4. Berapa banyak emas dibekalkan pada awalnya?
Kurang daripada lima kilogram.
5. Apakah cadangan untuk pelanggan dengan bajet rendah?
Pelanggan boleh mendapatkan pembiayaan emas dengan deposit serendah 10 peratus tanpa faedah selama 10 bulan.
6. Kenapa menyediakan ansuran?
Untuk membantu lebih ramai orang menyimpan emas secara bijak.
7. Pelanggan terdiri daripada kaum apa?
Bumiputera 85 peratus, Cina 13 peratus dan lain-lain dua peratus.
8. Apakah reka bentuk tahan lasak yang disyorkan?
Jenis padu… tidak kira reka bentuk.
9. Apakah pendapat anda tentang emas terpakai?
Betul ia lebih murah, tetapi kurang sesuai sebagai perhiasan kerana reka bentuknya lama dan bercalar.
10. Kenapa anda tidak mengenakan upah?
Tujuannya adalah agar pelanggan mendapat emas dengan harga yang lebih berbaloi.
11. Apakah kunci kejayaan dalam perniagaan?
Kejayaan memerlukan matlamat yang jelas, pemikiran positif serta kesanggupan belajar daripada kesilapan.
12. Apakah yang diperlukan untuk menjadi tauke emas?
Modal besar diperlukan kerana harga emas tinggi dan perlu bersedia untuk beli semula.
13. Pernah mengalami kerugian?
Ya, terutamanya semasa membuka cawangan baharu kerana ia memerlukan masa untuk kembalikan modal.
14. Apakah reka bentuk emas paling popular?
Saoh, Sompoa dan Gold Bar.
15. Apakah cabaran utama perniagaan emas?
Pengaliran tunai ketat, terutamanya pada fasa awal, disebabkan kos stok yang tinggi.
16. Apakah impian perniagaan anda?
Menjadi jenama premium dari Sarawak seperti Tomei, Poh Kong dan Habib.
17. Apakah perbezaan emas 916 dan 999?
Emas 916 (91.6 peratus) lebih sesuai untuk perhiasan, manakala 999 (99.9 peratus) lebih sesuai untuk pelaburan jangka panjang.
18. Betulkah emas ada ‘aura’?
Dari segi budaya, emas memang menjadi simbol kekayaan dan keberkatan, tetapi tiada bukti saintifik yang menyokongnya.
19. Kisah pelanggan paling menyentuh hati?
Seorang ibu berusia 70-an menjual gelang emas untuk membantu merawat anaknya yang menghidap kanser. Kami membelinya pada harga yang lebih tinggi atas dasar simpati.
20. Jika mencipta emas mewakili Sarawak, apakah simbolnya?
Burung Kenyalang. Ia dalam proses lukisan, dan pihak kami juga akan mencipta ikon yang mewakili bandar-bandar utama di Sarawak.
21. Adakah emas kekal relevan untuk 50 tahun akan datang?
Ya. Walaupun muncul pelaburan baharu, sejarah membuktikan emas kekal stabil dan selamat.



