PELAKON terkenal Indonesia, Diah Permatasari, mengakui bahawa pengalamannya ketika menjalani penggambaran fi lem seram Rego Nyowo merupakan antara yang paling mencabar dan sukar dilupakan sepanjang kariernya.
Menurut Diah, salah satu momen paling mencabar ialah ketika menjalani penggambaran di kawasan terpencil di Padalarang, Jawa Barat, selama lebih seminggu.
Hampir semua babaknya dirakamkan di lokasi yang dikelilingi hutan dan ladang pisang. Antara cabaran utama yang dihadapi ialah keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Kalau hujan, tempat itu jadi penuh lumpur dan sangat becak.
Kami hanya berteduh di bawah khemah yang kadang-kadang bocor,” ujarnya.
Diah yang membawakan watak Bu Astri turut berkongsi bahawa peranannya sangat mencabar dari segi emosi dan fi zikal.
“Saya betul-betul menguras tenaga.
Penggambaran pula tamat hingga jam 6.00 pagi,” katanya. Namun begitu, semangat kerja berpasukan yang tinggi membolehkan semua cabaran itu diharungi dengan baik.
“Kami sangat rapat dan saling menyokong. Memang betul-betul kompak,” jelas Diah.
Salah satu elemen yang mencuri perhatian dalam Rego Nyowo ialah kemunculan pocong gantung yang menyeramkan.
Menurut Diah dan rakan pelakonnya, Cassandra Lee, karakter tersebut kelihatan sangat realistik dan bukan sekadar solekan biasa.
“Waktu pertama kali tengok pocong itu di set, saya betul-betul takut.
Itu bukan lakonan, tetapi ketakutan sebenar,” kata Diah sambil menyifatkan hasil kerja pengarah Rizal Mantovani sebagai sangat mengagumkan dan menyeramkan.



