ARTIKEL

Diaspora perlu main peranan bersama, jaga imej negara di mata dunia – Anwar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MANAMA, Bahrain: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu diaspora Malaysia memainkan peranan secara bersama dalam menjaga imej negara di mata dunia.

Perdana Menteri berkata selain usaha yang dijalankan oleh pejabat kedutaan, penampilan dan pembawaan diri rakyat Malaysia di luar negara penting bagi mengekalkan nama baik sedia ada negara.

Pada masa sama, beliau berkata usaha secara bersama perlu digerakkan, antara lain dalam usaha mempromosikan negara kepada pihak luar.

“Harus juga aktif kempen tentang Malaysia.

“Pelancongannya, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kelantan, dan semua yang ada keistimewaan masing-masing,” kata beliau pada majlis makan malam yang disertai kira-kira 300 diaspora Malaysia.

Anwar tiba di sini awal pagi semalam bagi mengadakan lawatan rasmi pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke negara Teluk itu atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa.

Dalam pada itu, Anwar juga mahu rakyat Malaysia yang berada di luar negara sentiasa memikirkan perkara terbaik untuk negara, termasuk memastikan negara tunduk kepada ‘rule of law’.

Perdana Menteri berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi negara yang berjaya dari segi ekonomi dengan budaya yang dinamik, berbilang kaum, dan berbilang agama.

“Pilihan ada di tangan kita, yang terbaik dalam kalangan anda adalah mereka yang mampu berfikir dan merenung, lebih-lebih lagi golongan seperti anda, profesional muda yang mendapat pendedahan, pengalaman baharu dan dimensi yang lebih luas.

“Ambil peluang dan serap apa yang anda boleh, miliki semangat dan kekuatan untuk membawa perubahan,” katanya. – BERNAMA (Nik Nurfaqih Nik Wil)

BERITA LAIN

BERITA TERBARU