
KUCHING: Seorang peniaga barang terpakai didenda RM600 atau penjara 10 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menjual kenderaan terpakai tanpa lesen.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Ho , 54, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menjual barang terpakai tanpa lesen di sebuah premis kenderaan di Jalan Kuching-Serian, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 29 September 2021.
Sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari IPD Padawan telah melakukan Op Lusuh dengan membuat pemeriksaan di sebuah kedai kenderaan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap tertuduh mendapati dia telah melakukan kesalahan menjalankan perniagaan menjual kenderaan terpakai tanpa lesen sah.
Hasil siasatan, tertuduh gagal mempamerkan lesen perniagaan barang-barang lusuh di premisnya.
Selain itu, tertuduh juga mengaku bahawa kedai terbabit dalam proses permohonan lesen namun belum diluluskan oleh pihak bertanggungjawab.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



