AMALAN menabung sememangnya perlu diterapkan oleh semua ibu bapa dalam diri anak mereka. Ini kerana, anak-anak perlu belajar menguruskan perbelanjaan agar tidak boros.
Ibu bapa memainkan peranan penting agar si kecil bersemangat untuk menabung.
Banyak kebaikan yang diperoleh mereka sekiranya belajar menabung sejak kecil lagi.
Berikut adalah beberapa cara mendidik anak untuk menabung.
Buka akaun simpanan
Banyak bank di Malaysia menawarkan akaun khas untuk kanak-kanak.
Anda perlu membawa mereka ke bank dan membuka akaun atas nama mereka.
Jadi ambil peluang ini untuk menerangkan kepada mereka proses menabung menggunakan bank.
Sediakan tabung di rumah Sediakan dua tabung yang berbeza — satu untuk duit kertas dan satu lagi untuk duit syiling.
Lebih baik sekiranya tabung tersebut lut sinar untuk menambah semangat anak menyimpan.
Sebelum anak pandai berbelanja, anda harus biasakan mereka untuk menabung.
Belanja ikut kemampuan
Didik anak untuk belanja ikut kemampuan.
Caranya mungkin berbeza dengan orang lain, sebab itu penulis lebih suka ajar anak membeli barangan yang berkualiti.
Jadi, anda perlu terangkan kepada anak-anak tujuan beli barangan yang berkualiti berbanding barangan murah.
Hal ini kerana barang yang berkualiti, dapat dipakai dalam tempoh yang lama dan tidak perlu beli selalu, jadi ia lebih jimat.
Hadiah menabung
Anak-anak pasti gembira apabila usaha mereka dihargai. Jadi, mereka ini lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara yang disukai oleh ibu bapa.
Oleh itu, anda juga mempunyai pilihan sama ada memberikan hadiah apabila anak-anak berjaya menabung dengan baik.
Misalnya, anda tetapkan menyimpan sebanyak RM50 setiap bulan.
Jika berhasil, anda hadiahkan kepada mereka seperti tambahan RM10 untuk anak membeli sesuatu yang mereka suka tanpa mengusik simpanan tersebut.



