Sambutan Bulan Kemerdekaan di seluruh Malaysia sentiasa menjadi medan penting untuk menilai dan memperkasakan semula semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Sambutan tahun ini disemarakkan lagi dengan penghayatan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, iaitu “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.
Bagi warga SK Matang, tema ini diterjemahkan secara nyata menerusi nikmat perpaduan, kemudahan pendidikan yang selamat serta kesejahteraan yang dinikmati bersama oleh murid daripada pelbagai latar belakang etnik di Sarawak. Keharmonian suasana pembelajaran di sekolah menjadi bukti bahawa nikmat kemerdekaan dan kesejahteraan negara benarbenar dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Menerusi rencana khas ini, tiga warga pendidik SK Matang berkongsi pandangan, pengalaman serta dedikasi masing-masing dalam mendidik generasi penerus bangsa.
Cikgu Kelly Sim Boon Hui, 34, memberikan penekanan terhadap tindakan nyata dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid.
Menurut beliau, nilai kemerdekaan tidak seharusnya kekal sebagai konsep abstrak yang hanya dibicarakan, sebaliknya perlu dizahirkan melalui perbuatan dan amalan harian di sekolah.
MENDIDIK SEMANGAT PATRIOTIK MELALUI LANGKAH MUDAH
Sempena Bulan Kemerdekaan, Cikgu Kelly bersama-sama rakan guru mengambil inisiatif menghias bilik darjah bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dan bersemangat patriotik.
Langkah menceriakan kelas itu digunakan sebagai salah satu pendekatan pedagogi untuk menyemai rasa bangga dalam kalangan murid terhadap sekolah dan negara.
“Saya mendidik murid rasa cinta akan negara perlu dizahirkan melalui tindakan, walaupun menerusi langkah mudah seperti menceriakan kelas.
“Pendekatan ini mengajar murid bahawa sumbangan kepada negara boleh bermula daripada persekitaran yang paling dekat.
“Apabila murid terlibat secara aktif dalam menceriakan bilik darjah sempena bulan bersejarah ini, mereka secara tidak langsung akan berasa memiliki dan menghormati identiti kebangsaan,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Selain keceriaan bilik darjah, Cikgu Kelly turut menekankan kepentingan pembentukan disiplin asas ketika lagu kebangsaan dinyanyikan.
Semasa pelbagai acara dan persembahan diadakan di sekolah, para guru memastikan murid berdiri tegak dengan tangan lurus di sisi badan ketika menyanyikan lagu Negaraku.
Beliau mengakui sesetengah pihak mungkin menganggap amalan berdiri tegak itu sebagai perkara remeh.
Namun begitu, dalam konteks pembentukan sahsiah, amalan tersebut mencerminkan rasa hormat yang mendalam terhadap kedaulatan negara.
Murid juga diajar secara teliti mengenai tatacara mengendalikan Jalur Gemilang, termasuk meletakkannya pada kedudukan yang betul serta mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan bendera.
Bagi memastikan mesej tersebut disampaikan secara menyeluruh, ketua murid perempuan turut diberi peranan untuk menyampaikan maklumat mengenai pengisian aktiviti Bulan Kemerdekaan semasa majlis pelancaran.
MENJAGA KESIHATAN DAN KEKEMASAN MURID
Perjuangan mengisi kemerdekaan juga merangkumi aspek kesihatan dan penampilan fizikal murid.
Cikgu Kelly bersama pihak sekolah sentiasa memastikan murid berpakaian kemas serta mengamalkan gaya hidup sihat. Murid disarankan membawa botol air kosong dari rumah dan mengelakkan pengambilan minuman manis atau teh secara berlebihan ketika berada di sekolah.
Katanya, bagi menyokong amalan tersebut, pihak pengurusan SK Matang menyediakan kemudahan penapis air di kawasan sekolah.
Kemudahan itu memudahkan murid mengisi semula air minuman supaya mereka kekal segar, sihat dan mampu memberikan tumpuan sepanjang proses pembelajaran.
HARAPAN PENDIDIK DAN TANGGUNGJAWAB MELAHIRKAN MODAL INSAN
Harapan utama Cikgu Kelly sebagai pendidik adalah untuk melihat Malaysia terus maju dan berdaya saing di pentas dunia.
Beliau menyedari kanakkanak yang berada di hadapannya pada hari ini merupakan bakal pemikir dan pemimpin yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.
Oleh itu, tanggungjawab sebagai seorang guru sememangnya besar dan mencabar.
Tugas itu bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut berperanan dalam melahirkan modal insan yang berkaliber, berintegriti dan berdisiplin tinggi demi kelangsungan pembangunan negara.
PENERAPAN NILAI KEMERDEKAAN DALAM KALANGAN MURID
Usaha menerapkan nilai kemerdekaan di SK Matang dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti berstruktur, termasuk penganjuran Kuiz Kemerdekaan.
Sebagai guru kelas, Cikgu Rabiatul sentiasa mendorong murid untuk menghias dan menceriakan bilik darjah sepanjang Bulan Kemerdekaan.
Inisiatif ini bertujuan memupuk dan menerapkan nilai menghargai jasa tokoh negara.
Menerusi bahan visual dan infografik di dalam kelas, murid dapat mengenali susur galur kepimpinan negara, bermula daripada Perdana Menteri pertama hingga Perdana Menteri terkini.
Pendekatan ini membolehkan murid memahami betapa peritnya perjuangan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan yang dinikmati pada hari ini.
Justeru, Cikgu Rabiatul berharap seluruh warga sekolah dan masyarakat terus menghayati nilai kemerdekaan.
Beliau mengingatkan proses membebaskan negara daripada cengkaman penjajah menuntut pengorbanan jiwa dan raga daripada para pejuang terdahulu.
Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, semangat saling menghormati perlu terus dipupuk tanpa mengira latar belakang agama atau kaum demi mengekalkan keharmonian serta memperkukuh perpaduan nasional.
PENGALAMAN SEBAGAI GURU BAHARU DARI SEMENANJUNG KE SARAWAK
Memulakan perkhidmatan rasmi di SK Matang pada 17 November 2025, Cikgu Rabiatul berkongsi pengalaman peribadinya sebagai guru muda yang ditempatkan jauh dari negeri kelahirannya di Perak.
Walaupun masih berada pada peringkat awal perkhidmatan, pengalaman yang ditimba amat berharga.
Pada mulanya, beliau berasa sedih kerana perlu berjauhan daripada keluarga.
Namun, beliau menganggap penempatan tersebut sebagai rezeki serta peluang terbaik untuk menimba pengalaman.
Sambutan hangat dan kemesraan warga SK Matang serta masyarakat setempat di Sarawak membuatkan beliau berasa amat dialu-alukan dan gembira berkhidmat di sekolah berkenaan.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada guru baharu yang bakal bertugas di Sarawak atau Sabah agar menerima penempatan tersebut dengan hati terbuka.
Peluang berkhidmat di Borneo memberikan ruang yang luas untuk meneroka keunikan budaya tempatan yang mungkin tidak dapat dirasai lagi sekiranya mereka kembali bertugas di Semenanjung pada masa hadapan.
KEINDAHAN PERPADUAN KAUM DI SARAWAK
Satu perkara yang paling mengagumkan Cikgu Rabiatul ialah keharmonian antara kaum di Sarawak.
Jika di Semenanjung komposisi masyarakat lebih banyak terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India, di Sarawak pula kepelbagaian etnik jauh lebih luas.
Di SK Matang sahaja, persekitaran sekolah diwarnai oleh warga daripada latar belakang Melayu, Cina, Iban, Bidayuh serta pelbagai etnik lain.
Katanya, walaupun berbeza latar belakang budaya, kepelbagaian itu langsung tidak menjadi halangan untuk bersatu hati.
Suasana di bilik guru memperlihatkan hubungan yang mesra apabila para guru bebas berbual dan berkongsi makanan bersama-sama.
Beliau berasa amat bangga menjadi sebahagian daripada warga kerja di Sarawak.
Dalam pada itu, pendidik senior, Cikgu Mohd Hassanel Tahir, turut berkongsi pandangan mengenai falsafah kemerdekaan, tanggungjawab murid, pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) ketika berdepan krisis serta hala tuju pendigitalan di SK Matang.
Bagi Cikgu Hassanel, sambutan Bulan Kemerdekaan bukan sekadar acara tahunan yang diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang.
Sebaliknya, sambutan itu merupakan wadah penting untuk menyampaikan mesej dan makna kemerdekaan kepada seluruh warga sekolah.
“Ogos merupakan peluang untuk memperkasakan rasa tanggungjawab mereka sebagai murid.
Mereka perlu memahami dan mengambil pengajaran daripada perjuangan tokoh terdahulu.
“Yang paling penting, dengan kebebasan yang dinikmati ini, murid perlu menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh serta tidak leka dalam menyertai sebarang aktiviti yang dianjurkan pada peringkat sekolah,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kemerdekaan yang dinikmati pada hari ini membuka ruang dan peluang kepada murid untuk menuntut ilmu dengan bebas.
Oleh itu, murid bertanggungjawab memanfaatkan peluang tersebut dengan berusaha sebaik mungkin dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
Sebagai sebahagian daripada barisan pendidik di sekolah itu, Cikgu Hassanel berharap sambutan Bulan Kemerdekaan dapat terus menyemarakkan iltizam murid.
MENYEMARAKKAN SEMANGAT WARGA PENDIDIK
Mengakhiri perkongsian, beliau berharap sambutan pada tahun ini dapat terus menyemarakkan iltizam serta membakar semangat para guru untuk terus berbakti sebagai pendidik yang berdedikasi di Malaysia.
Tugas mendidik bukan sahaja berfokus pada pencapaian akademik, malah turut merangkumi pembentukan jiwa patriotik dan sahsiah terpuji dalam kalangan generasi muda.
Semoga dedikasi serta keharmonian yang ditunjukkan oleh warga SK Matang terus menjadi sumber inspirasi dalam memacu kemajuan pendidikan serta memperkukuh perpaduan di Malaysia.






