Didik masyarakat tentang kehamilan remaja dan pembuangan bayi secara holistik dan bersepadu – Fatimah

KUCHING: Tindakan yang holistik dan bersepadu perlu dilaksanakan untuk mendidik mengenai isu pembuangan bayi, bukan hanya dalam kalangan remaja perempuan malah remaja lelaki, ibu bapa dan komuniti.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kes pembuangan bayi yang berlaku di Jalan Bukit Mata malam tadi adalah kes pertama direkodkan pada tahun ini.
“Masyarakat perlu dididik mengenai tanggungjawab berkaitan dengan isu ini dan bahaya dalam kehamilan remaja.
“Selain itu, masyarakat perlu mengenal pasti dan mengelakkan tingkah laku yang berisiko, menjelaskan sistem sokongan yang tersedia kepada ibu yang belum berkahwin dan memberitahu mereka tidak bersendirian kerana bantuan disediakan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fatimah menambah, menerusi kes yang berlaku itu kita dapat memahami kemarahan masyarakat terutamanya apabila melihat bayi yang baru lahir berada dalam keadaan tidak bernyawa di atas jalan raya.
“Walaupun kes itu masih dalam siasatan, pelbagai persoalan terlintas di fikiran kita.
“Mengapa tindakan tragis itu boleh berlaku? Adakah ia disebabkan remaja itu keadaan cemas?
“Adakah kerana remaja itu tidak mampu untuk berfikir secara waras kerana perlu menyembunyikan kehamilannya sebelum ini dan melahirkan bayi yang tidak diingini itu adalah bukti tingkah laku seksual terlarang bersama teman lelakinya? Dan di mana pula teman lelaki remaja itu ketika dia memerlukan sokongan?,” tegas Fatimah.
Justeru katanya, KWKPK dan Majlis Pembangunan Sosial (MPS) bersama dengan rakan kongsi mereka akan terus menjalankan program dan aktiviti untuk mengurangkan statistik kehamilan remaja, kehamilan sebelum perkahwinan dan pembuangan bayi.
“Tumpuan khusus diberikan kepada tingkah laku berisiko yang membawa kepada kehamilan yang tidak diingini.
“Bagaimanapun, setakat ini kita melihat penurunan dalam kehamilan remaja di Sarawak dan tiada peningkatan kes pembuangan bayi,” ujarnya.
Setakat April 2020, sebanyak 623 kes kehamilan remaja direkodkan berbanding 1,967 kes pada tahun 2019.
“Manakala pada 2018, sebanyak 2,153 kes direkodkan berbanding 2,130 pada tahun 2017.
“Bagi kes pembuangan bayi, sebanyak 10 kes dilaporkan pada tahun 2018, diikuti lima kes yang dilaporkan masing-masing pada 2019 dan 2020,” tambah Fatimah lagi.
Sekitar jam 9.20 malam tadi, seorang remaja berumur 19 tahun ditahan kerana disyaki ibu kepada mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui oleh orang awam di Jalan Bukit Mata di sini.
Berdasarkan siasatan awal, bayi itu baru dilahirkan sebelum dicampak keluar dari sebuah bilik di tingkat 13 hotel berdekatan.