SEKOLAH Menengah AlAmin Kuching (SMAAKU) telah menganjurkan satu sesi pengisian berkaitan ketagihan siber yang disampaikan oleh Cikgu Ahmad Sukri Muhammad dan Nor Radhiah Chee pada minggu lalu.
Program ini melibatkan penyertaan semua pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4.
Antara slot utama yang diketengahkan dalam sesi ini ialah isu ketagihan digital, yang merupakan satu cabaran besar dalam kehidupan remaja masa kini.
Para pelajar didedahkan kepada hakikat bahawa gajet boleh menjadi alat yang sangat berkesan untuk membantu pembelajaran, komunikasi dan kemajuan diri.
Namun demikian, gajet juga boleh menjadi perangkap senyap yang merosakkan fokus, emosi dan masa depan pelajar sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Sepanjang sesi berlangsung, para pelajar dibimbing untuk mengenal pasti tanda-tanda ketagihan gajet serta cara menguruskan masa skrin dengan lebih bijak.
Seterusnya, para pelajar diajar untuk membezakan antara situasi “kita menggunakan gajet” dengan “gajet yang menggunakan kita”.
Penekanan turut diberikan kepada pembangunan disiplin digital dalam diri pelajar sebagai asas kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah.
Program ini membawa misi penting untuk melahirkan remaja yang beradab dalam dunia digital dengan berbekalkan akhlak mulia, ilmu pengetahuan serta kawalan diri.
Diharapkan para pelajar SMAAKU menjadi generasi yang celik minda, bersih hati dan mantap jati diri dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar.



