SIMANGGANG: Dianggarkan lebih 2,000 penonton hadir ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman malam ini (22 Ogos) bagi menyaksikan aksi pusingan akhir acara tinju Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXI Sarawak (Kluster Bahagian Sri Aman) akan mengetatkan kawalan masuk, selain menyediakan skrin besar di hadapan depan.
Pengerusinya Mahra Salleh berkata, dijangka 2,000 penonton berada di dalam stadium.
“Bagaimanapun stadium tidak mencukupi sekiranya lebih ramai yang hadir, maka kita merancang mendirikan skrin besar di depan stadium (berhampiran pintu masuk) untuk mereka yang tidak berpeluang masuk.
“Jika tidak dapat masuk, boleh tengok di luar stadium,” katanya dalam sidang media selepas berakhir pusingan separuh akhir acara tinju di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, malam tadi.
Tegas Pemangku Residen Bahagian Sri Aman itu, pihaknya turut mengambil langkah keselamatan selepas insiden di venue SUKMA yang lain.

“Kita memaklumkan kepada anggota keselamatan untuk mengetatkan kawalan keselamatan di laluan masuk ke stadium dan akan memastikan penonton tidak membawa barang merbahaya.
“Pun demikian, syukur Alhamdulillah sepanjang enam malam berturut-turut acara tinju berlangsung, saya berpuas hati dengan tahap penganjuran.
“Walaupun dengan kawalan ketat, penganjuran tetap meriah.
“Justeru, kita berharap baki dua malam final dapat dijayakan dengan sebaiknya,” ujarnya.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada kem tinju Sarawak yang berjaya menempah lapan slot di pusingan akhir yang akan berlangsung malam ini dan malam esok.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dijangka hadir malam ini.



