MUKAH: Seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun ditahan polis kerana disyaki mencuri komponen perancah besi di tapak binaan sebuah rumah di Jalan Orang Kaya Setiaraja, di sini, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 26 tahun ditangkap kira-kira jam 4.45 petang selepas seorang pengarah syarikat pembinaan terserempak dengan dua lelaki tidak dikenali di tapak binaan berkenaan.
“Apabila menyedari kehadiran pengarah itu, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri bersama sebuah guni berisi komponen perancah besi dengan menaiki motosikal.
“Pengarah syarikat bersama dua pekerjanya mengejar suspek sebelum berjaya menahan seorang daripada mereka di kawasan Pasar Lama Mukah, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan semalam.


Jelas Rizal, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah kemudiannya membuat tangkapan semula ke atas suspek tersebut.
Ujarnya, barang rampasan termasuk sembilan unit komponen perancah besi, sebuah motosikal dan satu unit topi keledar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.
“Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah. Ujian air kencing ke atasnya juga mendapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Sehubungan itu, kertas siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 turut dibuka ke atas suspek yang direman empat hari sehingga 27 Disember ini bagi melengkapkan siasatan.
Tambah Rizal, usaha mengesan seorang lagi rakan suspek yang terlibat dalam kes ini sedang giat dijalankan.





