Dilema anak Penan di Apau Nyaring

BARAM: Tidak bersekolah kerana masalah pengangkutan.

Itu dilema yang dialami kebanyakan anak Penan di Kampung Apau Nyaring di sini, kata Pengasas Hope Place, Kelvin Wan.

Sehubungan itu katanya, Gereja St Paul Long San mengambil inisiatif menyediakan sebuah bangsal yang dipanggil ‘Amai Medai’ untuk anak-anak ini menimba ilmu sambil dibantu tiga remaja yang baharu tamat Tingkatan Lima.

“Setakat ini, terdapat 24 murid belajar di Amai Medai tetapi mereka tidak mempunyai meja, kerusi dan papan notis, selain serba kekurangan.

“Lebih menyedihkan, Kampung Apau Nyaring juga masih belum mempunyai bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

“Mereka hanya mendapat perkhidmatan Doktor Udara yang datang melawat sekali dalam tempoh dua bulan,” kata Kelvin lagi.

Kampung Apau Nyaring yang mempunyai 43 isi rumah didiami sepenuhnya komuniti Penan. Kebanyakan mereka pula tidak memiliki dokumen pengenalan.

Sebelum itu, Kelvin bersama-sama Charity Without Borders serta Kelab Kenderaan 4X4 membawa makanan, ubat-ubatan, ubat gigi, lampu solar dan alat tulis untuk diagihkan kepada penduduk kampung tersebut.

Rombongan Hope Place memulakan perjalanan ke Apau Nyaring pada 20 Julai dari Bintulu.

Mereka mengambil masa selama 10 jam untuk tiba ke kampung tersebut melalui Sungai Tinjar.

Selepas melawat Apau Nyaring, rombongan meneruskan perjalanan ke kampung berdekatan iaitu Kampung Long Liaw.

Untuk tiba di kampung tersebut, mereka mengambil masa dua jam perjalanan darat serta sejam setengah perjalanan melalui sungai.

Kampung Long Liaw didiami 35 isi rumah dan lebih 100 penduduk kampung, yang tiada bekalan elektrik dan bekalan air bersih.

Kata Kelvin, ketua kampung tersebut, Bitang Sakai mengakui sekitar sepuluh peratus anak buahnya tidak mempunyai kad pengenalan.

“Penduduk kampung tersebut juga mengalami masalah tiada infrastruktur seperti sekolah.

“Sekarang mereka mengharapkan ilmu yang diajar oleh anak perempuan Ketua Kampung iaitu Angel Jeli yang juga baharu menamatkan pelajaran di Tingkatan Lima.

“Angel sebenarnya berkeinginan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tetapi dalam dilema kerana memikirkan anak-anak di kampungnya yang masih memerlukan khidmatnya.

Semasa di Kampung Long Liaw, rombongan sukarelawan menyerahkan bantuan barangan makanan seperti beras, minyak masak, gula, mi, biskut, minuman botol, alat tulis dan kerusi roda kepada seorang penduduk yang mengalami penyakit angin ahmar.

Suara Sarawak