Signifikan teks KESIGNIFIKAN novel Bara Senja terletak pada keberkesanannya membangkitkan persoalan tentang perjuangan, pengorbanan dan makna kehidupan dalam kalangan golongan yang terpinggir.
Melalui pendekatan Bacaan Idealistik Teksdealisme, teks ini tidak sekadar menyampaikan cerita tetapi mengajak pembaca menyelami lapisan pengalaman batin watak-wataknya, khususnya watak utama, Melai dan anak gadisnya, Menti.
Pemaknaan tidak hanya berlegar pada peristiwa tetapi lebih penting lagi pada kesan emosi, nilai dalaman dan idealisme yang cuba dibangunkan pengarang melalui watak dan konflik.
Konflik yang dirancang dalam struktur naratif menjadi jendela pemaknaan yang penting. Watak-watak tidak sekadar wujud sebagai pelaku dalam cerita, tetapi menjadi titik pertemuan antara pengalaman pengarang dan pembaca.
Dalam konteks ini, watak Menti yang tiba-tiba mengidamkan ikan sembilang menjadi pemangkin kepada satu dimensi konflik baharu dalam jiwa Melai.
Hasrat kecil itu membawa pembaca menelusuri gelodak batin seorang ayah yang sedang bergelut dengan rasa bersalah, kasih sayang dan harapan terakhir terhadap anaknya yang sedang sakit tenat.
Pembaca yang mendekati teks melalui bacaan idealistik akan merasai kegusaran dan desakan emosi yang menghantui Melai. Kenyataan doktor bahawa kesedihan boleh mempercepatkan kemerosotan kesihatan Menti memberikan tekanan jiwa yang hebat kepada Melai yang seterusnya menggerakkan usahanya ke laut demi memenuhi permintaan kecil anaknya itu.
Dalam hal ini, pengalaman pembaca menjadi alat reflektif untuk memahami dan merasai kekuatan batin seorang ayah yang terdesak namun tetap berjuang dengan segala daya.
Pembacaan idealistik menuntut respons pembaca yang dinamik yang tidak hanya mengikuti kronologi cerita tetapi turut mencari makna dan signifikan di sebalik peristiwa fenomenologikal.
Peristiwa Melai gagal menangkap ikan sembilang walaupun dikenali sebagai nelayan berpengalaman, boleh dibaca sebagai simbol kekerdilan manusia di hadapan takdir. Jaya Ramba dengan sengaja menyusun episod ini dengan ketegangan naratif yang bersifat wujud seakan-akan dunia fizikal turut bersekongkol dalam penderitaan batin Melai.
Kegagalan Melai tidak hanya berbentuk fizikal tetapi juga spiritual: perasaannya seolaholah sedang diuji oleh kuasa yang lebih besar daripada dirinya sendiri.
Dalam dimensi ini, pembaca boleh mengesan unsur realisme magis apabila bukan sahaja di laut, malah di pasar sekalipun, ikan sembilang tidak dijumpai.
Simbolisme ini membuka ruang interpretasi bahawa keinginan Menti adalah keinginan yang tidak lagi tergapai oleh dunia realiti – ia berdiri sebagai lambang kehilangan, penyesalan, dan ketidakmampuan manusia menunda kematian.
Teks ini menjadi semakin signifikan apabila bacaan diolah secara reflektif yakni dengan melihat peristiwa sebagai penzahiran makna dalaman yang mencerminkan konflik spiritual, moral dan emosi dalam kehidupan sebenar.
Melalui pendekatan Bacaan Idealistik Teksdealisme, teks Bara Senja bukan sekadar merakamkan perjalanan hidup sebuah keluarga marginal tetapi turut membangunkan kesedaran dan empati yang mendalam terhadap mereka yang hidup dalam wilayah senyap masyarakat.
Antara elemen fizikal dengan metafizikal Melalui pembacaan novel Bara Senja, dapat diperhatikan bahawa pengarang bukan sahaja menggambarkan pertembungan konflik secara zahir tetapi turut memperteguh dimensi batiniah dan spiritual watak-wataknya.
Dalam pendekatan Bacaan Idealistik Teksdealisme, hal ini membuktikan bahawa pengarang tidak hanya memaparkan naratif secara deskriptif tetapi menelusuri hingga ke teras persoalan dan jantung psikologi watak, menjadikan teks bersifat reflektif terhadap nilai dan erti kehidupan.
Watak Melai yang uzur tetap berkeras turun ke laut demi memenuhi hasrat Menti, memunculkan ketegangan emosi yang mencabar pembaca untuk menilai kewajaran tindakannya sama ada sebagai tindakan nekad atau manifestasi cinta dan pengorbanan seorang ayah.
Konflik yang tercetus antara Melai dengan anak lelakinya, Manan dan Munan, bukan sekadar konflik luaran tetapi turut mewakili pertarungan batin yang menusuk ke dalam lub kasih sayang.
Pembacaan idealistik mendorong khalayak untuk menyelami niat dan dorongan batin watak yang tidak sentiasa dapat dizahirkan melalui katakata mahupun perlakuan.
Pada mulanya, tindakan Melai kelihatan berlawanan dengan rasional.
Namun, hakikatnya ia digerakkan oleh nilai luhur yang merentas logik kebendaan.
Bacaan idealistik tidak menolak realiti tetapi menilai bagaimana nilai kemanusiaan, cinta dan pengorbanan boleh mengatasi keterbatasan fizikal dan rasional.
Ini terbukti apabila Manan dan Munan, setelah mengetahui hal sebenar, turut turun ke laut bersama nelayan lain menggunakan perahu bangkong—tindakan yang menggambarkan keterikatan kasih sayang dan penghargaan terhadap pengorbanan Melai.
Simbolisme dalam teks turut memainkan peranan penting dalam bacaan idealistik.
Simbol ‘bangkong’ – perahu perang tradisional masyarakat Iban – mengandungi makna sejarah dan budaya yang mendalam.
Bangkong yang digunakan untuk peperangan dan penyerbuan dalam sejarah masyarakat Dayak kini diinterpretasi semula sebagai simbol perjuangan batin dan pengorbanan keluarga.
Dalam konteks naratif ini, usaha mencari ikan sembilang bukan sahaja mencerminkan perjuangan fizikal untuk kelangsungan hidup tetapi juga perjuangan metafizikal menentang nasib dan penderitaan.
Kegagalan berulang Melai dan nelayan lain menangkap ikan sembilang membawa pembaca ke lapis simbolik yang lebih dalam.
Dalam bacaan idealistik, ini bukan sekadar kegagalan logistik tetapi suatu bentuk halangan takdir yang seolah-olah menguji keteguhan dan keikhlasan niat.
Apabila Melai akhirnya berjaya menangkap ikan sembilang, kegembiraannya direntap apabila ikan itu terlepas, meninggalkan hanya sengat yang tertusuk di tangannya.
Episod ini sarat dengan makna alegori dan elemen spiritual bahawa harapan kadangkala hadir dalam bentuk yang menyakitkan dan kejayaan tidak semestinya datang tanpa luka. Sengatan ikan sembilang membawa masuk dimensi budaya yang lebih dalam melalui konsep tulah dalam kepercayaan masyarakat Iban.
Tulah dianggap sebagai malapetaka rohani yang menimpa akibat melanggar adat atau pantang larang.



