KUCHING: Dua wanita warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terlibat dalam aktiviti pelacuran dengan menawarkan khidmat seks di sebuah hotel bajet di Jalan Rock.
Tertuduh Nurhasanah, 31, Juwita Lestari, 21, masing-masing dan mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dua Majistret iaitu Zaiton Anuar dan Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, pada 11 Jun lalu, sekitar jam 11.26 malam dan 11.35 malam bertempat di dalam bilik hotel bajet berbeza di Jalan Rock, kedua-dua mereka telah mencari langganan yang bermaksud pelacuran.
Bagi kesalahan tersebut mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 11 Jun lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua orang pegawai pendakwa berbeza iaitu Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang dan Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.