KUCHING: Padah cuba mencuri kotak gear kereta milik majikan, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Nur Hakimie Leman, 21, dari Kampung Tengah, Pusa, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di dalam sebuah garaj syarikat membaiki kenderaan di Demak Laut, kira-kira jam 1.15 petang, 29 Julai 2022.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 511 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Zubaidah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu lelaki dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa tertuduh telah menyimpan kotak gear kereta kancil miliknya dalam sebuah lori dan membawa keluar dari garaj tersebut.
Tindakan tertuduh cuba membawa lari kotak gear terpakai itu berjaya dipatahkan oleh pekerjanya selepas sempat ditahan dan barang tersebut sempat diambil semula.
Pengadu kemudian, membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya menahan tertuduh pada hari yang sama.
Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.



