KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki sebuah komputer riba curi.
Muhammad Nur Ammy’een Iswandi, 21, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang lagi rakannya memiliki sebuah komputer riba jenama Victus milik mangsa lelaki berusia 29 tahun.
Dia dan rakannya merupakan pesalah muda berusia 18 tahun didakwa memiliki barang curi tersebut semasa ditahan di Pejabat D4 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak, kira-kira jam 2 petang, 16 Disember 2023.
Oleh itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Syarifah Fatimah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini. Sementara, tertuduh kedua menunggu laporan sosial.


