KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memiliki 732 biji telur penyu tanpa lesen yang sah.
Mohamad Nazarudin Zuami, 32, dari Sibu itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia memiliki 732 biji telur penyu spesies Chelonidae yang merupakan haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 tanpa lesen daripada pihak berkuasa.
Dia didakwa memiliki telur tersebut di sebuah rumah di Jalan Batu Kawa, sekitar 10 pagi, 13 Ogos lepas.
Mohamad Nazarudin didakwa di bawah Seksyen 37(2)(a) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan dibaca bersama Seksyen 37(1) Kanun yang sama, serta boleh dihukum mengikut Seksyen 29 (1)(c) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan dibacakan bersama Seksyen 37(2)(a) ordinan yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara dua tahun dan denda RM20,000 bagi setiap haiwan dan setiap anggota haiwan.
Musli memerintahkan tertuduh ditambah penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Menurut fakta kes, hari kejadian, sepasukan anggota Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) dan pasukan polis marin membuat serbuan Op Bersepadu Khazanah di sebuah rumah kerana dipercayai menyimpan telur penyu.
Hasil pemeriksaan, menjumpai 732 biji telur penyu yang disimpan di dalam tiga bungkus plastik berbeza warna.
Semasa siasatan tertuduh gagal mengemukakan sebarang kebenaran atau lesen yang sah menyimpan telur penyu terbabit daripada Pengawal Hidupan Liar.
Hasil siasatan mendapati tertuduh menyimpan telur penyu yang merupakan haiwan terlindung penuh di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 tanpa lesen.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Leonard Baring dan Willy Chin Siaw Min manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



