KUCHING: Kugiran thrash metal aliran lama dari Miri, Dire Crown dipilih sebagai runut bunyi rasmi untuk siri komik Dayak yang pertama bertemakan pengayau iaitu Rhemaung Berih.
Ditubuhkan pada 1999, Dire Crown berjaya menarik perhatian Platipus Studio, sebuah syarikat penerbitan komik bebas yang berpangkalan di Kuala Lumpur, selepas Extended Play (EP) mereka bertajuk Governance of Poison diterima sebuah studio muzik tempatan.

“Kami memang berhasrat mencari sebuah band tempatan yang menulis lagu secara jujur dan peribadi, bukan sekadar menunggang budaya untuk tujuan jualan atau populariti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Platipus Studio, S. Mark.
Menurutnya, pencipta Rhemaung Berih mengambil masa lebih 20 tahun untuk menghasilkan jalan cerita yang unik dan bebas daripada klise serta mahukan lagu tema yang mencerminkan unsur dendam, kebangkitan semula, serta kebencian yang mendalam.

Atas sebab itu, katanya, Dire Crown dipilih sebagai pilihan utama oleh pihak studio.
“Kami mahukan karya yang matang dan dapat diterima di peringkat antarabangsa, bukan sekadar muzik yang keras dan penuh amarah tetapi jiwa kosong dan bergantung sepenuhnya kepada sokongan kecerdasan buatan (AI),” tambahnya.

Rhemaung Berih dijadual untuk diterbitkan semula pada pertengahan 2026, mengisahkan perjuangan seorang pahlawan Borneo yang dibuang dari sukunya sendiri kerana hasil perkahwinan antara dua puak yang bermusuhan.
Namun, ancaman yang lebih gelap dan sinis dari luar bakal menguji kelangsungan hidup seluruh suku tersebut.
Sementara itu, Dire Crown akan melancarkan muzik video pertama mereka untuk lagu Governance of Poison, hasil kolaborasi bersama Hybrid Mix Production Studio dan Mad3sign.
Menurut pengurus Dire Crown, Stephen Lalo, mereka mahu menghasilkan lebih banyak muzik aliran keras untuk pendengar lagu metal, lebih-lebih lagi untuk belia Dayak.
“Kami ingin keluar dari element tipikal bahawa lagu Dayak sering dikaitkan dengan lagu Gawai atau lagu cinta balada lembut.
“Oleh itu kami akan hasilkan lebih banyak lagu metal untuk pendengar, khususnya untuk belia-belia Dayak,” ujarnya.
Katanya lagi, pihaknya memilih untuk menyampaikan lagu dalam bahasa Inggeris kerana berhasrat untuk menembusi pasaran antarabangsa namun liriknya ditapis dengan teliti tanpa menggunakan bahasa kesat agar mesej perjuangan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.


