AZAM ialah kemahuan atau cita-cita yang sangat kuat, namun sejauh mana usaha untuk mencapainya sering menjadi persoalan setiap kali ia dipasak kukuh seawal 1 Januari setiap tahun.
Semangat yang membara pada awal tahun kadangkala hanya bertahan beberapa minggu sebelum diuji kesibukan rutin harian, tekanan kerja dan pelbagai komitmen lain.
Di sinilah bezanya antara azam yang sekadar dilafazkan dengan azam yang benar-benar disertai tindakan berterusan.
Ada yang memasang azam yang sama setiap tahun, sama ada untuk meningkatkan kerjaya, memperbaiki tahap kesihatan atau memperkasa ilmu dan sahsiah diri.
Sebahagian daripada mereka berjaya kerana azam itu diterjemahkan kepada perancangan yang realistik, disiplin yang konsisten serta kesediaan untuk berkorban masa dan tenaga.
Namun, tidak kurang juga yang kecundang apabila azam hanya tinggal sebagai niat tanpa pelan yang jelas dan ukuran pencapaian yang nyata.
Hakikatnya, azam bukan sekadar janji kepada diri sendiri, tetapi komitmen jangka panjang yang menuntut kesungguhan dan kecekalan.
Kejayaan mencapai azam banyak bergantung kepada sejauh mana seseorang mampu menilai keupayaan diri, menetapkan langkah yang tersusun dan bersedia bangkit apabila berdepan kegagalan.
Tanpa usaha yang berterusan, azam hanya akan berulang sebagai catatan tahunan yang tidak pernah beralih menjadi kenyataan.
ZAITON JEMAIN, 54 tahun, bekerja sendiri

Saya berazam untuk terus maju dalam kehidupan dengan berdikari serta tidak terlalu mengharapkan bantuan orang lain, di samping membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus berusaha dan berjaya.
Saya berharap kehidupan sentiasa dipermudahkan, dikurniakan kesihatan yang baik, dilimpahi rezeki yang berkat serta hasil usaha sendiri mampu memberikan keselesaan dan ketenangan hidup.
Untuk mencapai azam dan harapan tersebut, saya akan terus bekerja dengan tekun, berdisiplin, menambah ilmu dan kemahiran yang bermanfaat, sentiasa berfi kiran positif, tidak mudah berputus asa serta berdoa agar setiap usaha yang dilakukan membuahkan hasil yang baik.
UFAIRA NUR AFIFA FAIZUL 10 tahun

Saya mahu menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik melalui pembelajaran yang berterusan serta latihan harian, di samping berusaha menurunkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif.
Untuk mencapai azam ini, saya akan meluangkan masa mengikuti kelas atau menggunakan aplikasi pembelajaran bahasa, berlatih bercakap serta membaca dan mendengar bahan dalam bahasa Mandarin.
Selain itu, saya juga akan menjaga pemakanan dengan memilih makanan yang sihat, mengurangkan pengambilan makanan segera dan rajin melakukan senaman di rumah atau di luar.
SARENA HAIDIR, 49 TAHUN staf kerajaan

Azam saya adalah untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada pada tahun ini, khususnya dengan memberi tumpuan untuk menyelesaikan baki pengajian PhD agar dapat ditamatkan dengan jayanya.
Sebagai seorang staf kerajaan, saya bertekad untuk mengurus masa dengan lebih berkesan, meningkatkan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab, serta berusaha secara konsisten melalui perancangan yang lebih tersusun, disiplin diri dan kesungguhan yang berterusan demi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
HAZIQ AHMAD ZAKI Penulis istimewa autisme

Paling utama bagi saya ialah memberi keutamaan dan penghormatan tertinggi untuk semua golongan istimewa dan akan terus berkhidmat untuk mereka.
Pada masa yang sama menaik taraf mutu karya sastera dan seni dengan meletakkan anak istimewa pada kedudukan lebih hebat dan berprestij.
Saya berazam untuk terus memperbanyak karya sastera dan seni berkaitan golongan istimewa khususnya golongan autisme dengan memasukkan unsur keriangan dan positif serta mempunyai pangkat dan gelaran kehormat serta mempamerkan kejayaan dan kecemerlangan sebagai menghakis sikap prejudis golongan normal.
Moga ia bermanfaat untuk semua.
NURFAIZAH YUSOF, 40 tahun, guru

Mahu menjadi seorang pendidik yang cemerlang serta berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik.
Saya bertekad untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan demi mencapai sasaran 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan SPM bagi subjek Sejarah melalui perancangan rapi, pendekatan pengajaran yang kreatif serta bimbingan berterusan kepada para pelajar.
MOHD REDHZUAN ROGERS ABDULLAH 59 tahun, pesara kerajaan

Berazam untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding tahun lepas, insya-Allah, dari segi akhlak, pemikiran dan tindakan seharian.
Bagi mencapai azam tersebut, saya akan sentiasa melakukan muhasabah diri, mengenal pasti serta memperbaiki segala kesilapan yang lalu dengan penuh keinsafan, meningkatkan disiplin diri, memperbanyakkan amalan positif, serta berusaha untuk kekal istiqamah dalam setiap amalan dan perubahan ke arah kebaikan secara berterusan.
MUHAMAD BOHARI 74 tahun pesara guru besar

Pertama sekali, azam saya adalah untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta bermuhasabah diri agar setiap amalan harian yang dilakukan diterima oleh Allah.
Kedua, saya bercita-cita untuk menghasilkan novel-novel bertemakan kemasyarakatan dan kearifan tempatan.
Bagi merealisasikan azam tersebut, saya perlu memperbanyakkan pembacaan dalam pelbagai genre di samping menjalankan kajian yang mendalam berkaitan isu sosial dan kemasyarakatan.
EZMIR SADRIQ SUHARDI 27 tahun, Penganalisis data (jurutera diagnostik) dan pemuzik

Saya meletakkan azam Tahun Baharu 2026 untuk membuka sebuah perniagaan kecil dalam bidang makanan dan minuman yang menggabungkan elemen muzik sebagai identiti utama.
Berbekalkan minat mendalam terhadap dunia F&B (Industri Makanan dan Minuman) dan seni muzik, saya bertekad merealisasikan impian ini melalui perancangan yang rapi, termasuk mengkaji pasaran secara menyeluruh, mengumpul modal secara berperingkat serta menjalankan proses ujian menu dan konsep melalui proses cubaan dan kesilapan untuk memperbaiki menu dan konsep perniagaan yang bakal dibangunkan berdaya saing, berdaya tahan dan mampu memberikan pengalaman unik kepada pelanggan.
FEBBRIGHT JAMES, Penyampai berita, wartawan TVS

Sempena tahun baharu 2026, azam saya adalah untuk terus meningkatkan kualiti diri sama ada dari segi kerjaya, kesihatan dan juga sumbangan kepada masyarakat.
Saya berharap tahun 2026 akan membawa lebih banyak peluang untuk berkembang, belajar perkara baharu serta mencapai kestabilan dalam kehidupan.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, saya akan berusaha dengan lebih berdisiplin, menetapkan sasaran yang jelas serta sentiasa berfi kiran positif.
Selain itu, saya juga akan memanfaatkan setiap peluang yang ada, meningkatkan kemahiran diri dan tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran.
Setiap tahun saya menetapkan sasaran untuk melawat sekurangkurangnya satu negara.
Tujuannya adalah untuk meneroka cara kehidupan dan budaya masyarakat lain, sekali gus memperluaskan perspektif serta pengalaman hidup.
Melihat sisi kehidupan yang berbeza membantu saya memperluaskan pemikiran dan secara tidak langsung memberi inspirasi untuk menghasilkan karya dalam dunia kewartawanan.



